Keadaan kecederaan pengawal keselamatan ladang yang cedera selepas ditikam oleh buruh warganegara Indonesia di Bandar Seri Bandi, Kemaman, semalam.
KEMAMAN: Seorang pengawal keselamatan ladang cedera selepas ditikam seorang buruh warga Indonesia di sebuah ladang sawit di Bandar Seri Bandi, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 3.55 pagi, mangsa, Muhammad Akmal Danial Mohd. Zaid, 23, mengalami tusukan di bahagian pinggul kiri dengan kedalaman empat sentimeter selepas dipercayai ditikam suspek menggunakan sebilah pisau.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama rakan setugasnya dikatakan terserempak dengan suspek ketika sedang melakukan rondaan di sekitar perumahan dan pejabat ladang itu.
“Mangsa melihat lelaki Indonesia tersebut berkeliaran sambil membawa sebilah parang namun apabila ditegur, suspek bercakap dengan keadaan baik.
“Mangsa telah mengarahkan suspek untuk pulang semula ke rumah kongsinya, namun suspek enggan berbuat demikian. Rakan mangsa kemudiannya mengambil parang daripada suspek dan mengarahkannya untuk pulang,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Hanyan berkata, ketika diiringi pulang, suspek bertindak melarikan diri dan mangsa terus mengejar suspek.
“Suspek berusia 23 tahun kemudiannya secara tiba-tiba menikam pinggul kiri pengawal keselamatan itu dengan sebilah pisau dan terus melarikan diri ke arah Plaza Tol Kijal dan dikejar rakan mangsa.
“Suspek kemudiannya cuba menahan sebuah lori treler yang keluar dari plaza tol itu, namun pemandu lori itu tidak berhenti. Suspek kemudiannya bertindak memanjat lori itu menyebabkan dia terjatuh dan betis dan pahanya telah digilis lori tersebut,” katanya.
Hanyan berkata, mangsa dan suspek telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 393 dan Seksyen 506 kanun yang sama.


































