Abidin Madingkir
RANAU: Pemeteraian MOU di antara Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) mampu mengelakkan daripada berlaku pertembungan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Naib Presiden Parti StarSabah Datuk Abidin Madingkir berkata, perkembangan terbaru itu juga merupakan langkah yang signifikan dalam mengukuhkan lagi kedudukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di negeri ini.
“Pemeteraian MOU ini sudah lama ditunggu-tunggu oleh rakyat untuk direalisasikan (long overdue matter) kerana persefahaman seperti ini memberi menfaat besar kepada kedua-dua belah pihak,” katanya.
Beliau yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah berkata, persefahaman ini sudah tentunya dapat mengeratkan hubungan politik di antara StarSabah dan PBS khususnya di Paginatan.
“Selaku ADUN StarSabah bagi Kawasan DUN Paginatan saya melihat solidariti yang dimulai oleh StarSabah dan PBS daIam GRS sudah tentu memberi impak besar kepada kekuatan GRS secara keseluruhan.
“Saya lihat kerjasama ini tidak akan menggugat kedudukan GRS malah memantapkan lagi kekuatan dan kerjasama di kalangan komponen parti GRS khususnya di Paginatan.
“Dengan kerjasama ini sudah tentunya perkara yang pernah berlaku pada PRN16, iaitu pertembungan sesama sendiri yang berlaku di kalangan parti tempatan, dapat dielakkan,” kata beliau.
Tambah Abidin, parti-parti komponen GRS yang terdiri daripada parti parti tempatan sudah tentunya dapat mengadakan kerjasama yang jitu untuk menghadapi PRN17 sebagai satu pasukan yang mantap.
Pada hari Khamis, PBS dan Starsabah secara rasminya memulakan kolaborasi politik yang dikenali sebagai BERSATU-SOLIDARITI (BEST).
Kedua-dua parti dalam GRS itu menandatangani MOU kerjasama pada upacara yang diadakan di Unity Hall, Hongkod Koisaan KDCA, disaksikan oleh Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, antara lain.
MOU tersebut ditandatangani oleh Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang mewakili Presiden Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, bersama Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki bagi pihak PBS, dan Presiden Starsabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung Starsabah, Datuk Edward Linggu bagi pihak Starsabah.
BEST berteraskan kepada lima aspek utama iaitu; Mengukuhkan kolaborasi dan kerjasama politik; Bekerjasama dan berkolaborasi dalam menyelesaikan isu-isu utama Sabah; Penubuhan Majlis Pimpinan Bersama (JLC) antara PBS dan Starsabah; Perkongsian Maklumat dan Latihan Kepimpinan; dan Penubuhan Jawatankuasa Strategik.


































