Kecederaan dialami kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun akibat dibuli sekumpulan budak lain yang tular dalam kejadian di Kajang, Selangor.
PETALING JAYA: Bukan sahaja dibuli malah dipukul dan ditumbuk.
Itu penderitaan dialami seorang budak perempuan berusia lapan tahun yang cedera angkara perbuatan sekumpulan kanak-kanak lain di satu kawasan perumahan di Kajang.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Muhamad Nasir Drahman berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita yang juga pengasuh kanak-kanak itu pada 11 April lalu.
“Hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu cedera dipercayai diperlakukan oleh kira-kira empat hingga lima kanak-kanak lain yang juga jiran kepada pengasuh terbabit dalam kejadian pada 9 April lalu.
“Suspek dalam kes ini adalah kanak-kanak bawah umur berusia antara enam hingga lapan tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Nasir berkata, polis akan memanggil kesemua kanak-kanak yang disyaki terbabit kejadian itu untuk diambil keterangan.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Tasnim Muhamed Nor di talian 014-6209960 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular hantaran yang dimuat naik seorang pemilik akaun di aplikasi X mendakwa seorang kanak-kanak perempuan cedera dibuli dan dicederakan sekumpulan kanak-kanak lain.
Pemilik akaun itu mendakwa mangsa menerima rawatan di Hospital Kajang sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan menjalani pembedahan pada kaki.
“Mulut kena selotip , kaki kena ketuk dengan batu, leher kena cekik, hidung kena sepit dengan penyapit baju, perut kena tumbuk,” tulisnya.
Pemilik akaun itu memaklumkan pemeriksaan oleh pihak hospital mengesahkan terdapat kecederaan terkoyak tisu kaki dan tiada kecederaan lain.
































