Jenazah anak Ketua Polis Daerah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hj Khamis di Lahad Datu, hari ini.
LAHAD DATU: Jenazah anak perempuan Ketua Polis Daerah Lahad Datu yang maut akibat tertembak diri sendiri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hj Khamis, petang tadi.
Menurut Utusan Malaysia, jenazah Nur Arisya Zafrina Dzulbaharin,14, dikebumikan kira-kira pukul 5.30 petang selepas proses bedah siasat di Unit Forensik, Hospital Lahad Datu selesai.
Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid At Taqwa, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
Petang tadi, Timbalan Pesuruhjaya Sabah, Datuk Shahurinain Jais ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan proses bedah siasat dijalankan ke atas mangsa menemukan hanya satu kesan tembakan di bahagian dada mangsa.
“Luka tembakan pada dada kanan telah mengenai organ paru-paru mangsa dan tembus di bahagian belakang badan,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, Polis mengklasifikasi kematian anak perempuan Ketua Polis Daerah Lahad Datu sebagai mati mengejut (SDR).
Susulan itu, tiga saksi termasuk ahli keluarga mangsa telah diambil keterangan dan sepucuk pistol jenis Walther P99 milik pegawai kanan berkenaan turut dirampas untuk siasatan.































