PETALING JAYA: Malaysia diramal mengalami cuaca panas sehingga hujung bulan ini disebabkan faktor-faktor global seperti ayunan Madden-Julian Oscillation (MJO) dari Lautan Hindi ke Lautan Pasifik.
Menurut Utusan Malaysia, Felo Akademi Sains Malaysia, Dr. Fredolin Tangang, berkata, selain peningkatan suhu, faktor-faktor tersebut juga akan meningkatkan hujan di beberapa tempat.
“Pusat gangguan cuaca berkait dengan ayunan Madden-Julian Oscillation (MJO) dari Lautan Hindi ke Lautan Pasifik juga akan mempengaruhi keadaan cuaca di Malaysia dan ayunan fenomena ini berlaku sekali dalam tempoh 20 hingga 60 hari.
“Mengikut Pusat Ramalan Iklim Amerika Syarikat dikeluarkan pada 7 April, keadaan pusat yang kurang litupan awan akan mendominasi rantau Malaysia dan Indonesia dalam tempoh satu hingga dua minggu dari sekarang dan kebarangkalian pengurangan penurunan curahan hujan serta peningkatan suhu akan meningkat dalam tempoh waktu tersebut,” katanya.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia telah memasuki fasa peralihan monsun di sepanjang Pantai Barat Semenanjung, terutama di Lembah Klang yang mempengaruhi keadaan cuaca hingga hujung Mei.
Mengulas lanjut, Fredolin menjelaskan, taburan hujan tertinggi di kawasan Pantai Barat Semenanjung terjadi pada April dan Mei, berbanding Pantai Timur, Sabah dan Sarawak yang alami kadar penurunan hujan rendah pada bulan sama.
“Di sebalik pengaruh musiman, Malaysia juga masih berada dalam pengaruh El Nino sepanjang April ini dan dijangka berakhir Mei serta sepanjang suku kedua 2024, keadaan di Lautan Pasifik diramal beralih kepada keadaan La Nina.
“Sepanjang April, keadaan peningkatan hujan di Pantai Barat Semenanjung disebabkan peralihan monsun mungkin tidak setinggi seperti keadaan normal disebabkan pengaruh El Nino,” katanya.
Menurutnya, kawasan Pantai Timur terutamanya di bahagian utara Semenanjung dan Sabah, cuaca panas diramal berterusan sepanjang April disebabkan pengaruh El Nino.
“Dari segi peningkatan suhu, keadaan diramal masih tinggi dari suhu normal disebabkan pengaruh El Nino terutama di utara Semenanjung dan Sabah. Peralihan ke musim panas Hemisfera Utara menjadikan kawasan utara lebih panas,” ujarnya.
Jelasnya lagi, terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi cuaca dan amatlah penting bagi orang awam mengikuti ramalan cuaca harian setempat dikeluarkan oleh MetMalaysia bagi mengelakkan strok haba, kejadian kepala air dan banjir yang mungkin boleh berlaku.
































