Keadaan Proton Saga dan Mitsubishi Triton yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
KOTA MARUDU: Seorang maut manakala lima yang lain termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Jalan Manggaris, di sini, pagi tadi.
Mangsa yang maut merupakan lelaki berusia 52 tahun yang memandu Proton Saga yang terlibat dalam kemalangan itu.
Kesemua lima yang cedera adalah pemandu dan penumpang kenderaan jenis Mitsubishi Triton.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memberitahu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu menerima maklumat mengenai nahas itu pada jam 8.54 pagi dan sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian.
Setiba di sana, pasukan bomba yang diketuai Komander Operasi, PBK I KUP Gabuh Maradan mendapati terdapat seorang mangsa tersepit dalam Proton Saga dan berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi.
Mangsa tersebut seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pemandu dan penumpang Mitsubshi Triton yang mengalami cedera ringan dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk rawatan lanjut.
Pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tidak ada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.40 pagi.































