Shahelmey diiringi Robert (kiri) dan Limus (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada JPJ Sabah.
PAPAR: Semua pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa memandu dengan berhemah dan mematuhi amaran papan tanda.
Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya, kemalangan jalan raya semasa musim perayaan dapat dielakkan sekiranya semua pengguna memberi kerjasama dan mematuhi peringatan-peringatan yang diberikan.
“Saya ingin berpesan kepada pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati, memandu dengan berhemah, patuhi amaran papan tanda yang telah diletak di tepi-tepi jalan raya seperti contoh jangan memotong, had laju dan sebagainya.
“Dengan memberi kerjasama mematuhi peringatan-peringatan yang diberikan itu, kita sama-sama dapat mengurangkan risiko berlakunya kemalangan semasa musim perayaan.

Mohd Fuad (kanan) dan Robert (dua dari kanan) mengiringi Shahelmey menyampaikan risalah keselamatan jalan raya kepada pemandu kenderaan.
“Sambil itu juga, memandangkan kita sudah sampai ke minggu terakhir bulan Ramadan yang mana mungkin agak ramai penduduk Papar Beaufort akan berulang-alik ke Kota Kinabalu untuk melakukan pembelian hari raya.
“Jalan raya dijangka sesak, jadi pandulah berhemah walaupun kepenatan waktu puasa pastikan memandu dgn baik dan selesa,” katanya kepada media dalam Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 2024 di sini, pada Jumaat.
Tambahnya, selain sikap pemandu, kita juga menggesa kontraktor Lebuhraya Pan Borneo agar memastikan lencongan atau papan tanda pada waktu pembinaan sentiasa diselenggara.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri III berkata, berdasarkan statistik kemalangan jalan raya pada tahun lepas, Papar merupakan daerah keenam tertinggi yang merekodkan kes kemalangan di negeri ini.
“Jadi, kalau kita lihat daripada statistik, Papar juga merupakan salah satu daripada daerah yang mencatatkan jumlah kemalangan agak tinggi tempat keenam.
“Mengikut statistik tahun 2023, Papar mencatatkan kemalangan lebih 800 kes pada tahun lepas dan pada suku pertama tahun ni saja sehingga 31 Mac baru-baru ini, mencatatkan lebih 200 dan ia menyamai 25 peratus jumlah kemalangan yang direkodkan pada tahun lepas,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai status Lebuhraya Pan Borneo, Shahelmey memaklumkan, kini terdapat 19 pakej yang sedang berlangsung termasuk empat pakej telah siap, manakala 16 pakej lagi akan dilaksana dan dijangka siap pada tahun ini.
“Daripada lima pakej awal Pan Borneo ada empat sudah siap, 11 masih lagi dilaksanakan dan baru-baru ini pada bulan Mac lalu, surat setuju terima kepada empat pakej baharu telah dikeluarkan dan saya difahamkan tarikh milik tapak juga sudah mula pada 1 April.
“Tiga berada di jajaran Tuaran – Kudat iaitu pakej 12,13,14 dan satu lg pakej 16 di jajaran yg dipanggil check point Semporna – Tawau menuju ke Kunak.
“Saya yakin dan amat berharap komitmen daripada kerajaan persekutuan akan memastikan bahawa semua 19 baki pakej tu nanti akan dapat dikeluarkan surat setuju terima atau lantikan pada kontraktor sebelum akhir pertengahan tahun ini.
“Jika kesemua 16 pakej yang menanti pelantikan kontraktor dapat dikeluarkan surat lantikan ini bermakna kesemua 35 pakej fasa 1 Pan Borneo1a 1b dipanggil itu akan berjalan dan kita akan dapat melihat perubahan dari sudut sistem jalan raya kita dalam beberapa tahun ke belakang nanti,” dedah beliau.
Hadir sama pada program tersebut ialah Pembantu-pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury dan Datuk Robert Tawik, Pegawai Daerah Mohd Fuad Abdullah, Pengarah JPJ Sabah Mohd Harris Ali dan dan Ketua Polis Daerah Papar Supt Kamaruddin Ambo Saka.




























