Anggota bomba memadamkan kebakaran sebuah kereta Proton Saga berhampiran simpang tiga Jalan Baru Renggam-Ulu Belitong, Kluang.
KLUANG: Seorang lelaki ditemukan rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di Jalan Baru Renggam-Ulu Belitong berhampiran simpang tiga, Felda Ulu Belitong dekat sini awal pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mayat Shahrizan Jum, 34, ditemukan usai kerja-kerja memadamkan kebakaran kereta Proton Saga dinaikinya kira-kira pukul 1 pagi.
Menurut maklumat daripada abang ipar mangsa, Kamarull Aizat Abdul, Shahrizan keluar dari rumahnya kira-kira pukul 11 malam, namun tidak memaklumkan arah tujuannya.
“Menurut maklumat diterima, mangsa tidak bekerja dan hanya menjaga kedua ibu dan bapa yang telah uzur berumur dalam lingkungan 60-an selain tidak ada membuat apa-apa pinjaman wang dan tiada permusuhan dengan mana-mana pihak.
“Pemeriksaan juga mendapati mangsa berseorangan dalam kereta dan berada di tempat duduk pemandu dalam keadaan terbaring,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Bahrin, mayat mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat.
Pihak Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat telah membuat pemeriksaan terhadap kenderaan mangsa, namun belum dapat dipastikan punca kebakaran tersebut.
“Kes masih dalam siasatan sama ada terdapat unsur jenayah,” katanya.


































