PETALING JAYA: Semua anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diingatkan untuk perlu sentiasa bertugas dengan penuh disiplin dan integriti.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, lawatan mengejut ke LTAPP itu bertujuan melihat sendiri pengurusan dan fasiliti lapangan terbang serta penugasan anggota khususnya JKDM dan JIM.
“Saya sampaikan pesanan supaya semua anggota bertugas dengan penuh disiplin dan integriti.
“Pastikan tiada lagi kecurangan dalam kalangan anggota yang boleh menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara,” katanya menerusi kenyataan dalam media sosial.
Terdahulu akhbar ini melaporkan, kerajaan akan memantau lebih dekat setiap agensi penguatkuasaan bagi mengelak daripada terus terpalit isu kecurangan melibatkan isu ketirisan, rasuah dan salah laku dalam kalangan penjawat awam.
Anwar Ibrahim berkata, masih ada segelintir penguat kuasa dikesan masih mengamalkan amalan rasuah serta salah guna kuasa.
“Ini peringatan kepada badan penguatkuasaan bukan sahaja Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan kita sedang pantau dari dekat, katanya.
Sementara itu, Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan lebih 10 kargo yang membawa barangan bercukai berkemungkinan ‘lolos’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada satu-satu masa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, seramai 34 pegawai serta anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditahan selepas bersekongkol dengan sindiket penyeludupan berkenaan.
Kata beliau, menerusi operasi khas Op Samba 2.0 dilakukan pada 11 sehingga 25 Mac lalu yang diketuai Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) turut menahan 27 orang awam dan pemilik syarikat ejen penghantaran.




























