Roller coaster naga Shenron bakal menjadi mercu tanda utama taman tema Dragon Ball.
Syarikat Pelaburan Qiddiya yang berpangkalan di Arab Saudi mengumumkan bakal membina taman tema ikonik pertama Dragon Ball di negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, menerusi satu kenyataan di laman web rasmi Dragon Ball, taman tema itu akan dibina di kawasan seluas 500,000 meter persegi kira-kira 40 minit perjalanan menaiki kenderaan dari bandar Riyadh.
Majlis pelancaran projek tersebut disempurnakan oleh Pengarah Urusan Qiddiya Investment Co., Abdullah Nasser Aldawood bersama Presiden Toei Animation, Katsuhiro Takagi di Tokyo pada 22 Mac lalu.
Difahamkan, taman tema berkenaan merupakan sebahagian daripada projek gergasi Arab Saudi yang bakal menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan hiburan negara itu.
Taman tema itu kelak akan menempatkan pelbagai struktur yang dibina berdasarkan tujuh lokasi ikonik dalam siri animasi itu termasuk Kame House, Capsule Corporation dan Beerus Planet.
Pelawat juga berpeluang menyertai pengembaraan bersama watak Goku dan rakan-rakannya bermula daripada episod pertama anime itu sehinggalah kepada siri terbaharu, Dragon Ball Super.
Selain itu, taman tema tersebut juga bakal menampilkan lebih daripada 30 tarikan yang mana lima daripadanya merupakan tunggangan canggih.
Paling menarik, syarikat tersebut turut merancang membina roller coaster nagaShenron setinggi 70 meter yang akan menjadi mercu utama taman tema tersebut.
Rangkaian perhotelan dan restoran juga akan dibangunkan bagi melengkapkan kemudahan hiburan yang disediakan selain memudahkan peminat-peminat Dragon Ball menikmati keseronokan sepanjang hari.
Dragon Ball pertama kali diterbitkan dalam majalah komik Weekly Shonen Jump Jepun pada tahun 1984 sebelum diadaptasi ke dalam filem, permainan video dan rancangan television yang diedarkan di lebih 80 negara.
Berita kematian penciptanya, Akira Toriyama,68, pada 1 Mac lalu mendorong peminat-peminatnya dari seluruh dunia untuk memberikan penghormatan kepada tokoh komik tersebut.
Menurut laporan The Independent, Arab Saudi ketika ini cuba mengurangkan kebergantungan kepada ekonomi berasaskan hidrokarbon dengan melaksanakan pelbagai projek mega berkaitan pelancongan dan hiburan yang menampilkan karakter kesayangan dunia.
Antaranya Qiddiya City, sebuah projek mega yang dibina di atas tapak dua kali ganda lebih besar dari Disney World di Florida, Amerika Syarikat (AS).
Selain Taman Tema Dragon Ball, syarikat itu juga merancang untuk membina sebuah taman tema roaller coster Six Flags di kawasan sama.
Pelan yang dirancang itu sekali gus bakal mengubah bandar berkenaan menjadi destinasi pelancongan yang hebat dengan pelbagai tarikan menarik di masa hadapan.




























