KOTA KINABALU: Kejadian damparan obor-obor luar biasa di pantai di Kuala Penyu berlaku disebabkan meningkatnya kadar pembiakan obor-obor oleh peningkatan suhu perairan laut, kata Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Azhar Kasim.
Selain itu, katanya ianya juga berkait rapat dengan kewujudan sumber makanan seperti zooplankton, crustacea kecil, anak ikan dan sebagainya di laut.
“Kejadian turut dipengaruhi oleh faktor air pasang dan air surut yng mendadak menyebabkan obor-obor secara mendadak terperangkap dan terdampar di pantai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga menasihati orang awam agar tidak terlalu risau kerana obor-obor tersebut adalah jenis fragile iaitu mudah mati dan hancur hanya, mengakibatkan bau yng tidak selesa.
Ianya akan cepat hilang dlm tempoh 1-2 hari, jelasnya.
“Elakkan mandi laut di kawasn perairan yang didapati terdapat populasi obor-obor yang tinggi,” katanya.

Menurut Azhar, Jabatan Perikanan telah menghantar anggota dari Pejabat Perikanan Kuala Penyu ke tempat kawasan kejadian untuk memantau dan menyiasat damparan obor-obor yang begitu luar biasa dan padat.
Katanya, kejadian itu berlaku di sepanjang lebih kurang 3 kilometer di persisir pantai Kampung Jangkit.
“Menurut penduduk, pertama kali berlaku damparan obor-obor yang sebegitu banyak.
“Jabatan telah mengenal pasti jenis obor-obor yang terdampar dikenali sebagai ‘tomato jellyfish’ atau nama saintifik Lobonemoides robustus.
“Obor-obor jenis ini bukan jenis yang berbisa atau merbahaya tetapi, boleh memberi kesan gatal pada badan apabila tersentuh kulit,” katanya.
































