KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menganjurkan majlis berbuka puasa bersama mahasiswa dan mahasiswi Sabah yang sedang menuntut di Semenanjung Malaysia di Grand Ballroom, AmanSari Residence Resort, Johor Bharu, kelmarin. (Gambar)
Ia dihadiri seramai 600 orang mahasiswa dan mahasiswi daripada 10 buah institusi pengajian tinggi di Zon Selatan Semenanjung Malaysia yang merangkumi Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka telah berkumpul di Johor untuk acara tersebut.
Majlis ini disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif.
Majlis berbuka puasa anjuran Kumpulan Yayasan Sabah ini merupakan majlis tahunan yang bertujuan untuk menyambut bulan Ramadan al-Mubarak bersama mahasiswa mahasiswi Sabah yang menuntut di Semenanjung Malaysia.
Sebelum ini, Kumpulan Yayasan Sabah telah mengadakan majlis berbuka puasa ini di Pulau Pinang pada 25 Mac 2024 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Program ini juga memberi ruang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk beramah mesra bersama barisan kepimpinan negeri sekaligus dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan berkongsi maklumat di antara sesama pelajar berlainan IPT.
Majlis tersebut diisi dengan pengisian jamuan berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan tarawih berjemaah.


































