Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Apin-Apin, Keningau hari ini.
KENINGAU: Dua beranak maut apabila kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Apin-Apin, di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah malam itu, seorang lelaki berusia 45 tahun dan anaknya perempuannya yang berusia empat tahun maut di lokasi kejadian.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan dua mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Masino Gelong, 45, dan Claeryina Mecthildis yang berusia empat tahun.
Menurut jurucakap JBPM, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kemalangan itu pada pukul 12.22 tengah malam dan sepasukan 10 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 16 kilometer dari BBP.
Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, seramai 10 mangsa terlibat dalam kemalangan yang membabitkan sebuah Toyota Avanza dan Nissan Navara.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati dua daripada tujuh mangsa yang menaiki Toyota Avanza meninggal dunia di lokasi kejadian dan disahkan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.
“Sementara itu, lima mangsa lain yang merupakan isteri dan anak kepada lelaki yang maut itu mengalami cedera parah manakala, tiga mangsa yang menaiki Nissan Navara pula mengalami cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Mangsa yang cedera pula dihantar ke Hospital Keningau menaiki jentera EMRS dan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.


































