MELAKA: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, kelmarin atas pertuduhan memecahkan cermin kereta bekas isterinya selepas kecewa lafaz talak yang dibuat ke atas wanita itu disahkan Mahkamah Syariah, minggu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, Mohd Haiidhir Yussof, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan khianat terhadap cermin hadapan kereta bekas isterinya yang berusia 41 tahun dengan niat menyebabkan kerosakan bernilai RM480.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11.45 pagi di kawasan parkir Mahkamah Syariah Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah pada 14 Mac 2024.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang satu tahun atau sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Difahamkan tertuduh bertindak demikian selepas berang dengan tindakan bekas isterinya yang tidak mengangkat panggilan telefon serta tidak dapat menerima keputusan Mahkamah Syariah yang mengesahkan lafaz talak dibuatnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000.
Tertuduh yang diwakili peguam Ishak Mohd. Kari merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pemandu dengan gaji RM1,500 sebulan, selain perlu menanggung anak-anaknya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 9 Mei ini untuk sebutan semula kes.
























