Abu Tariq Jamaluddin
CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesan RM5.2 bilion nilai cukai taksiran tambahan yang tidak dilaporkan oleh individu dan syarikat pada tahun lalu.
Mereka dikenal pasti melalui proses audit yang dijalankan terhadap pembayar cukai yang tidak melaporkan pendapatan masing-masing, tersalah lapor atau kurang lapor sepanjang tempoh itu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Abu Tariq Jamaluddin berkata, pihaknya menjalankan audit secara berterusan bagi memastikan cukai yang betul dibayar oleh setiap pembayar cukai.
Kata beliau, pada masa ini LHDN melaksanakan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 untuk memberi peluang kepada pembayar cukai tampil secara sukarela melaporkan pendapatan dan pengiraan cukai yang tepat dan teratur.
Menerusi program itu, sejumlah 38,491 pembayar cukai sudah tampil secara sukarela melibatkan 72,534 kes dengan amaun cukai taksiran berjumlah RM652,456,956 setakat 29 Februari lalu.
Jelas beliau, sekurang-kurangnya 50,000 pembayar cukai disasarkan tampil membuat pengakuan sukarela dengan jangkaan kutipan hasil cukai berjumlah RM1 bilion sebelum berakhir 31 Mei ini untuk mengemas kini status cukai masing-masing.
“Banyak manfaat diperoleh pembayar cukai yang tampil membuat pengakuan sukarela ini untuk mengemas kini status cukai mereka jika ada apa-apa belum lapor atau tersalah lapor sebelum ini kerana tidak ada penalti dikenakan.
“PLHDN tidak akan menyemak semula untuk tahun-tahun yang mereka membuat pengakuan itu, sebagai contoh pada 2019 mereka ada cukai tertinggal sebanyak RM10,000, jadi apabila sertai program ini, maka tidak ada audit atau siasatan dilakukan untuk tahun tersebut.
“Jadi ada tempoh dua bulan lagi sebelum program ini tamat. Selepas ini tidak ada lagi program sukarela PKPS dibuat kerana ia kali kedua kita laksanakan selepas kali pertama pada 2019,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Abu Tariq berkata, program PKPS kali pertama mengesan cukai taksiran sebanyak RM740,227,157 dengan jumlah kes yang direkodkan 406,846 yang dilaksanakan pada 2019.
Katanya, program PKPS 2.0 adalah peluang terbaik untuk melaporkan sebarang pendapatan sebelum LHDN melaksanakan sistem e-invois bermula 1 Ogos 2024 yang mana semua data transaksi jual beli dapat dikesan menerusi sistem itu.
Bagaimanapun, jelasnya, permulaan sistem itu akan dilaksanakan kepada syarikat yang mempunyai kadar pusing ganti tahunan melebihi RM100 juta melibatkan 4,000 syarikat sebelum diaplikasi sepenuhnya kepada semua individu yang dijangka pada tahun depan.
Kata beliau, pihaknya mempunyai seksyen khas iaitu Seksyen Ekonomi Digital Dan Behavioural Insights (SEDBI) yang memantau aktiviti secara harian di platform media sosial dan e-dagang termasuk pempengaruh dan instafamous berhubung pematuhan pelaporan percukaian dibuat.
Jelasnya, seksyen berkenaan diwujudkan sejak dua tahun lalu dengan memberi nafas baharu untuk melihat sikap pembayar cukai dan dalam isu pempengaruh media sosial berkemungkinan kekurang pengetahuan bukannya tidak mahu membayar cukai.
“Seksyen khas itu akan melihat semua aktiviti ini secara harian akaun aktif dan kita akan hubungi mereka untuk kemas kini kedudukan cukai. Seramai 17 pempengaruh menyertai PKPS 2.0 dengan jumlah taksiran RM161,822.
“Jumlah cukai dibayar oleh 10 pempengaruh yang mempunyai amaun cukai paling tinggi bagi tahun taksiran 2022 adalah berjumlah RM 1,492,799.85. Jumlah cukai tertinggi dibayar oleh pempengaruh adalah RM223,283,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya mempunyai kaedah bagaimana menentukan mereka yang ada kekayaan luar biasa dengan melihat milikan aset pembayar cukai berbanding pelaporan kepada LHDN setiap tahun.
“Jika kita lihat nilai aset dipegang tinggi tak setimpal pelaporan, maka langkah pertama adalah membuat pertanyaan kepada pembayar cukai untuk menerangkan bagaimana aset-aset itu diperoleh, sumber kewangan aset-aset itu dan di situ bermula proses penentuan sama ada cukai telah dibayar atau tidak daripada pendapatan yang digunakan untuk membeli aset.
“Kita ada maklumat aset pembayar cukai dan kita bandingkan dengan pelaporan cukai. Kita lihat aset mereka tapi tak pernah lapor, maka kita ambil (buat semakan),” katanya.






























