Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Faktor utama kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah adalah disebabkan oleh pertukaran kaedah pelaksanaan daripada Project Delivery Partner (PDP) kepada kaedah Konvensional semasa Parti Warisan memerintah pada tahun 2019, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Menurutnya, ini adalah susulan daripada keputusan Kerajaan Negeri Sabah pada tahun 2019 mengesyorkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menamatkan PDP seterusnya menamatkan Perjanjian PDP.
“Tindakan ini adalah salah kerana dengan penamatan Perjanjian PDP, model kewangan untuk membiayai perbelanjaan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo juga telah ditamatkan.
“Melalui Perjanjian PDP, model kewangan adalah dijangka mencukupi melalui Peruntukan Pembangunan dan daripada Terbitan Sukuk oleh DanaInfra.
“Setelah perjanjian PDP ditamatkan, sumber kewangan bagi pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah adalah hanya melalui Peruntukan Pembangunan yang sangat terhad.
“Ini menyebabkan hanya 15 Pakej Sahaja dapat dilaksanakan daripada 35 Pakej keseluruhannya. Baki 20 Pakej lagi telah ditangguhkan sehingga baru sahaja diluluskan semula pada tahun 2023,” jelas beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah.
Shahelmey berkata, perkara ini berbeza dengan Pan Borneo Sarawak apabila Terbitan Sukuk telah terlebih dahulu dilakukan menyebabkan Pan Borneo Sarawak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi bagi keseluruhan pakej.
“Kerajaan Negeri Sabah sentiasa komited untuk melaksanakan dan menyiapkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
“Kerajaan Negeri Sabah juga telah berusaha untuk meneruskan baki 20 Pakej yang belum bermula. Kita bersyukur, hasil usaha kerja keras dan desakan Kerajaan Negeri Sabah, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pelaksanaan baki 20 Pakej Kerja pada tahun 2023 yang lalu.
“Hasil daripada kelulusan tersebut, Kerajaan Negeri Sabah melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah menyiapkan semua keperluan bagi tujuan pelaksanaan semula semua pakej. Rekabentuk dan Dokumen Tender telah tersedia serta proses Makmal Pengurusan Nilai telah disiapkan pada penghujung Oktober 2023.
“Setakat 22 Mac 2024, sebanyak empat Pakej Kerja iaitu WP12,13,14 dan 16 telah dibuat pelantikan kontraktor. Kerja-kerja fizikal akan bermula pada 1 April 2024.
“Manakala baki 16 Pakej lagi sedang dalam proses Perolehan dan dijangka akan dimuktamadkan pada bulan April 2024. Kerja-kerja fizikal dijangka bermula pada bulan Mei 2024.
“Kerajaan Negeri Sabah melalui JKR Sabah akan berusaha untuk memantau pelaksanaan projek mengikut terma-terma kontrak sehingga berjaya disiapkan,” katanya.
Video Sesi Kamar Khas Persidangan Dewan Rakyat tular
Mengulas tentang video yang tular yang memaparkan soalan oleh Ahli Parlimen Kota Belud kepada Menteri Kerja Raya Malaysia berkenaan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 mengenai Pelaksaaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Work Package 21 (Lahad Datu Bypass) yang telah menarik minat ramai pihak, Shahelmey berkata, Laporan Ketua Audit Negara ini adalah laporan audit bagi projek jajaran Lahad Datu Bypass WP21 semasa pelaksanaan oleh PDP sebelum diambil alih oleh pihak Kerajaan pada penghujung tahun 2019.
Katanya, di dalam laporan ini jelas menyatakan Syor Audit adalah untuk membuat beberapa penambahbaikan bagi memastikan kelemahan yang dibangkitkan tidak berulang.
Sebarang tindakan atau penyiasatan kepada pegawai atau individu tertentu tidak dinyatakan di dalam syor audit tersebut, tambahnya.
“Apabila Kerajaan mengambil alih Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, pihak Kementerian Kewangan Malaysia telah mengarahkan Kementerian Kerja Raya Malaysia untuk melantik semula kontraktor dan juruperunding yang telah dilantik oleh PDP sebelum ini.
“Pemantauan yang ketat telah dijalankan bagi tujuan pelaksanaan Pakej tersebut dan sukacita saya mengumumkan bahawa WP21 telah disiapkan dan telah dibuka kepada orang awam pada tahun 2023,” kata Shahelmey.


































