Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan memperkenalkan peraturan Financial Fair Play (FFP) pada Liga Super musim ini.
PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan memperkenalkan peraturan Financial Fair Play (FFP) bagi mengelak kelab Liga Malaysia (Liga M) terus dibelenggu kemelut kewangan pada masa akan datang.
Menurut Utusan Malaysia, Presiden MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, peraturan bagi menjaga struktur kewangan pasukan Liga M itu akan dikuatkuasakan menjelang sepak mula Liga Super 2024/2025 yang akan bermula pada Mei ini.
Menurut Ghani, pihaknya memandang serius isu tunggakan gaji yang melanda beberapa kelab Liga Super musim lalu termasuk Kelantan FC yang disingkirkan daripada pentas tertinggi bola sepak Malaysia.
Katanya, situasi yang melanda beberapa pasukan lain seperti Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memaksa MFL untuk bertindak lebih tegas bagi memastikan nilai komersial Liga M tidak terjejas.
“MFL akan lancarkan juga FFP. Sebelum ini kita (Liga Malaysia) ada sistem yang diambil daripada luar dan digunakan bulat-bulat maka ia tidak sesuai. Sebab itu, kita akan perkenalkan FFP ini untuk memastikan tidak berlaku masalah.
“FFP kali ini seperti mana yang dicadangkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan pelaksanaannya akan mengikut kemampuan liga kita.
“Setiap pasukan akan isytiharkan berapa bajet yang mereka ada bagi satu musim termasuklah penaja yang masuk dan akan dihantar ke MFL. Sebagai contoh, sekiranya bajet pasukan sekitar RM10 juta, maka mereka hanya boleh berbelanja sekitar RM8 juta sahaja.
“Baki RM2 juta itu akan disimpan untuk bayaran pengurusan dan sebagainya. MFL tidak akan benarkan dana RM10 juta dibelanjakan semua, akan ada simpanan pada peringkat kelab itu sendiri,” katanya.
Sebelum ini, Liga M telah mengguna pakai Program Kawalan Ekonomi (ECP) untuk pasukan-pasukan yang bertanding, namun terdapat beberapa perkara yang perlu ditambah baik bagi menjaga kebajikan semua pihak khususnya pemain dan pegawai pasukan.
Dalam perkembangan sama, Ghani berkata, pihaknya akan akan mengadakan satu sidang media rasmi khas untuk mengumumkan tentang pelan perangkaan FFP yang akan diguna pakai di Liga M bagi musim 2024/2025.
























