Dr. Roland pada majlis penyerahan tangki-tangki dan polipaip kepada kampung-kampung di Inanam, di sini.
KOTA KINABALU: Andai Parti Warisan (WARISAN) jadi kerajaan sekalipun mereka tidak berkeupayaan untuk mengatasi masalah bekalan air di Sabah, kata Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Inanam, Datuk Dr. Roland Chia.
“Sudah terbukti, semasa pentadbiran WARISAN, banyak projek naik taraf loji rawatan air (LRA) dan sistem bekalan air gagal dibuat. Malah ada pemimpin parti mereka sendiri secara peribadi menghalang kerja-kerja penguatkuasaan, hasil 22 bulan itulah yang membebankan kita hari ini,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan kepada pihak pembangkang agar tidak menjadikan isu ini sebagai bahan politik mereka.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan tangki-tangki dan polipaip kepada kampung-kampung di Inanam, di sini.
Dr. Roland menegur tindakan beberapa pemimpin pembangkang memanipulasi keadaan negeri yang kini dilanda kemarau sebagai kegagalan Kerajaan dalam mengurus permasalahan rakyat.
Kemarau dan musim panas akibat fenomena alam El Nina memberi kesan kepada peningkatan suhu dan penurunan paras air sungai yang menjadi sumber kepada bekalan air di beberapa buah daerah di Sabah.
“Kekesalan kita pada mereka (pembangkang), kemarau ini bukanlah kehendak kita dan diluar batas kebijaksanaan manusia. Ini adalah bencana alam, tiada sesiapapun yang mahukan bencana sebegini berlaku.”
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, turut menekankan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah berdiam diri dan sentiasa berusaha menjalankan mekanisme kawalan bagi memastikan rakyat mendapat bantuan dan bekalan yang mencukupi.
“Apabila negeri dilanda bencana alam, paling penting ialah hentikan ‘politik’, kita harus bersama-sama mencari solusi bagi membantu rakyat. Ketua Menteri dan Menteri yang bertanggungjawab telah memberi komitmen rizab air negeri masih boleh bertahan sekalipun kemarau panjang,” ujarnya.
Beliau berkata, perisytiharan kemarau telah dibuat di Papar, berikutan loji rawatan air (LRA) Limbahau tidak dapat beroperasi kerana kemarau, dan Kerajaan telah mengambil inisiatif bekalan daripada LRA Kogopon untuk memastikan 55,000 penduduk menerima bekalan. Beberapa catuan terpaksa dibuat untuk memastikan bekalan air terawat mencukupi untuk kesemua kawasan.
Beliau turut menasihati pengguna agar menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan pembaziran.
Dr. Roland turut memuji wakil rakyat dan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mengambil pendekatan membantu rakyat di kawasan yang terjejas secara peribadi.
“Secara peribadi, saya berterima kasih kepada penyumbang-penyumbang dari NGO yang meyumbang polipaip dan tangki kepada Kawasan-kawasan yang dibelenggui oleh kekurangan air,” katanya.


































