Andi Muhammad Suryady Bandy
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk memberi perhatian serius dan menyelesaikan secara tuntas masalah yang dihadapi oleh para pegawai perubatan terutamanya yang masih menunggu untuk diserapkan ke perjawatan tetap.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata ini penting agar pengurusan hospital dapat menyediakan pegawai perkhidmatan yang mencukupi bagi menampung keperluan pesakit.
Beliau berkata, jawaban oleh Menteri Kesihatan pada sesi soal jawab yang lalu yang menyatakan bahawa sejumlah 1,696 pegawai perubatan meninggalkan sektor perkhidmatan awam pada 2022 agak membimbangkan.
Menteri tersebut juga menyatakan 54 peratus daripada jumlah keseluruhan pegawai perubatan yang meninggalkan sektor awam itu telah menerima tawaran untuk berkhidmat di sektor swasta atau badan berkanun manakala 4.5 peratus atau 477 daripada mereka telah berhijrah untuk bekerja ke luar negara.
“Justeru itu, penghijrahan tenaga mahir dalam sektor perubatan ini akan mengakibatkan negara mengalami masalah ‘brain drain’ dalam sektor ini. Tambahan pula, sehingga kini kita masih lagi belum berjaya mencapai sasaran nisbah seorang doktor kepada 400 pesakit (1:400) untuk kemudahan penjagaan kesihatan awam seperti mana yang telah ditetapkan sejak sekian lama.
“Bahkan kini, di sesetengah hospital, nisbah boleh meningkat setinggi 1:1000 pesakit dan terdapat juga kekurangan dalam bilangan orang awam berbanding pakar penjagaan kesihatan.
“Oleh itu, saya melihat antara faktor yang membawa kepada masalah ini adalah didorong oleh kekecewaan para doktor disebabkan oleh kegagalan pihak Kerajaan untuk menyerap mereka ke penjawatan tetap sehingga bertahun lamanya.
“Manakan tidak, seharusnya selepas tamat sahaja menjalani ‘housemanship’ mereka sepatutnya diserap ke penjawatan tetap UD44 namun disebabkan atas alasan tiada kekosongan jawatan maka diwujudkan penjawatan baharu iaitu UD43.
“Malah, setelah lulus untuk pertimbangan ke penjawatan tetap, ada di antara mereka terpaksa menunggu bertahun lamanya untuk diserapkan ke penjawatan tetap UD44 dan terpaksa kekal di UD43.
“Sudah pasti ianya akan menimbulkan perasan kecewa di kalangan para doktor ini, seolah-olah usaha dan khidmat bakti mereka dipandang sepi oleh pihak Kerajaan,” katanya ketika membahas Perbekalan Tambahan (2023) 2024 peringkat jawatankuasa Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat, di sini, kelmarin.
Andi berkata, hal ini menjadi faktor ada di antara mereka mengambil keputusan untuk keluar daripada sektor perkhidmatan perubatan kerajaan dan berkhidmat di dalam sektor perkhidmatan swasta dan sebagainya disebabkan oleh gaji dan faedah yang lebih lumayan dan setimpal dengan kerja mereka.
“Seharusnya penyelesaian tuntas disegerakan oleh pihak Kementerian bagi mengatasi masalah ini. Usahlah lagi kita sekadar ‘menanam tebu dibibir’ mengungkap janji manis kepada para pegawai perubatan ini.
“Kita faham, masalah ini berpunca disebabkan oleh ketiadaan penjawatan baharu yang dibuka oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengakibatkan para doktor ini terus kekal di gred yang sama iaitu UD43.
“Justeru itu, saya menggesa agar pihak Kerajaan memberikan perhatian serius terhadap masalah ini kerana kita bimbang sekiranya tiada jalan penyelesaian tuntas dalam masa terdekat ianya akan merisikokan sektor perkhidmatan perubatan awam negara.
“Kita tidak mahu peristiwa ‘Hartal Doktor Kontrak’ yang sebelum ini berlaku berulang kembali. Sekiranya ianya berulang dan kali ini lebih dasyat sudah pasti ianya akan melumpuhkan sektor perkhidmatan perubatan awam negara.
“Sungguhpun demikian, saya percaya Kementerian Kesihatan di bawah kepimpinan baharu yang diketuai oleh Yang Berhormat Kuala Selangor akan berusaha keras untuk mencari penyelesaian tuntas kepada masalah ini dan seterusnya mereformasikan sektor kesihatan awam negara,” katanya.


































