Gambar menunjukkan lokasi kejadian.
KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew menasihatkan semua pelancong agar memakai jaket keselamatan apabila mereka menyertai aktiviti berasaskan air seperti berenang, snorkeling dan menyelam.
“Memakai jaket keselamatan di laut adalah satu keperluan untuk mengelakkan sebarang musibah. Mengambil langkah keselamatan adalah untuk kebaikan anda sendiri. Elakkan diri daripada mengambil risiko walaupun anda mahir berenang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Liew memberi nasihat itu susulan insiden membabitkan pelancong warga China berusia 51 tahun yang dilaporkan lemas di perairan cetek antara Pulau Sapi dan Pulau Gaya di sini semalam.

Christina Liew
“Pulau-pulau kita adalah destinasi percutian yang popular untuk penduduk tempatan dan pelancong. Kejadian malang di Pantai A di Pulau Sapi ini sangat menyayat hati dan dikesali. Kita tidak mampu untuk bercuti yang berakhir dengan tragedi kerana ini boleh menjejaskan industri pelancongan Sabah,” katanya.
Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr. Maklarin Lakim memaklumkan kepada Menteri bahawa terdapat kira-kira 400 pengunjung dan pelancong di pulau itu ketika kejadian.
Taman-Taman Sabah, sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, mungkin mengkaji sama ada terdapat keperluan untuk menambah bilangan penyelamat di pulau-pulau Sabah yang dikunjungi oleh penduduk tempatan dan pelancong.
































