PETALING JAYA: Pelakon dan model, Mawar Rashid mengakui belum terbuka hati untuk mengenal mana-mana lelaki apatah lagi memikirkan soal berumah tangga buat masa ini.
Menurut Utusan Malaysia, pemilik nama penuh, Wan Mawar Shaputri itu berkata, dia ketika ini dalam fasa mengenal dan menyayangi diri sendiri supaya dapat memberi kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak dan keluarga.
“Buat masa ini, saya memang tidak ada mengenali atau berminat untuk berkenalan dengan sesiapa. Cukuplah ada anak-anak dan keluarga serta sahabat handai yang dari dahulu sentiasa ada.
“Saya ketika ini dalam fasa mengenal diri sendiri. Belajar untuk lebih menyayangi diri sendiri supaya dapat memberi lebih kasih sayang yang semampu baik kepada anak-anak dan mereka di sekeliling,” ujarnya.
Terdahulu, Mawar mencetuskan sensasi apabila dikatakan sudah bernikah dengan pemuda Brunei apabila memuat naik gambar dengan tangan berinai di Instagramnya.
Bagaimanapun, pelakon Suamiku Paling Sweet itu memaklumkan, gambar tersebut diambil ketika majlis pernikahan ibunya, Datin Marinee Abdullah yang selamat diijab kabul dengan lelaki pilihan,
Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Alauddin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Abu Bakar.
Sementara itu, tambah ibu kepada tiga orang anak itu, fokusnya sekarang adalah perkembangan kerjaya yang mungkin selama ini kurang aktif selain tumbesaran anak-anaknya.
“Saya mahu aktif semula dalam bidang lakonan dan senang cerita, industri seni keseluruhannya. Saya pun baru sahaja tamat penggambaran untuk filem Jangan Pandang Belakang 2.
“Saya pun ada perniagaan yang harus diuruskan. Cuma saya minta doakan yang baik-baik untuk saya dan keluarga,” ujar aktres berusia 30 tahun itu.