Keadaan dua kenderaan terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
LAHAD DATU: Seorang maut manakala tiga lagi cedera dan empat selamat dalam kemalangan melibatkan dua pacuan empat roda jenis Toyota Hilux Vigo di Jalan Dewata Batu 21, di sini, hari ini.
Yang maut merupakan seorang lelaki yang berada di dalam sebuah daripada Vigo terlibat dalam kejadian itu. Tiga yang lain – seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak lelaki – dilaporkan cedera.
Empat yang lain di Vigo yang sebuah lagi selamat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu menerusi talian MERS999 pada jam 12.53 tengah hari.
Sepasukan anggota diketuai Pegawai Operasi, PBK II Mohammad Akbar Mohambar yang tiiba di tempat kejadian mendapati mangsa yang maut dan cedera telah dibawa ke Hospital Lahad Datu oleh pihak ambulans KKM.
Mangsa yang meninggal dunia telah diambil alih oleh pihak polis untuk tindakan lanjut.
Tiada operasi menyelamat dilakukan oleh pasukan bomba yang hanya mengambil maklumat di lokasi kejadian.
Maklumat mangsa tidak diperolehi dan setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 1.47 petang.


































