TAWAU : Kerajaan Negeri bersedia menawarkan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada bekas anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekali gus memberi peluang kepada mereka memiliki rumah sendiri.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (tengah) berkata, ahli jawatankuasa Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) perlu mengemukakan permohonan secara rasmi melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing untuk penelitian di peringkat awal.
Katanya, sekiranya veteren ATM ini memenuhi syarat ditetapkan, Kerajaan Negeri tidak menghadapi masalah untuk memberikan kelulusan bagi pembinaan rumah SMJ kepada mereka.
“Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sangat perihatin terhadap masalah dihadapi bekas anggota ATM. Kita akan cuba membantu mereka untuk menikmati kehidupan yang selesa bersama ahli keluarga mereka.
“Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Sabah diperuntukkan sebanyak 20 buah SMJ. Ini merupakan peluang baik kepada anggota veteren ATM untuk menikmati kemudahan ini di masa depan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PVATM Cawangan Tawau, Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, keprihatian Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan memperuntukkan RM244 juta melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) perlu diberi pujian.
“Ini bagi penyediaan Skim Bantuan Kebajikan (SBK) kepada veteran ATM pada tahun ini. Bantuan kewangan disalurkan kepada veteran ATM bertujuan meringankan beban sara hidup mereka.
“Peruntukan ini merangkumi penyediaan bagi kebajikan meliputi aspek kesihatan, pendidikan dan perumahan serta Bantuan Sara Hidup (BSH) sepanjang tahun ini,” jelas Nizam.
Menurutnya, peruntukan BSH ditingkatkan tiga kali ganda pada tahun ini kepada RM174 juta, berbanding RM54 juta tahun lalu adalah bukti Kerajaan mengiktiraf sumbangan bekas ATM kepada negara.
































