Shahelmey Yahya (dua kiri) mendengar taklimat mengenai Loji Rawatan Air Limbahau di Papar hari ini
PAPAR: Kira-kira 52,000 penduduk di daerah ini terjejas akibat gangguan bekalan air susulan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau sejak 20 hari lalu.
Penutupan loji mengakibatkan kapasiti bekalan air di Papar berkurang sebanyak 10 juta liter sehari (Mld).
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, penutupan loji itu dilakukan disebabkan kemarau berpanjangan hingga menyebabkan air laut masuk ke dalam sungai.
Pada masa ini, tahap kemasinan air di kawasan muka sauk (intake) menjadi tinggi iaitu pada bacaan 2,800 bahagian per juta iaitu melebihi tahap maksima dibenarkan iaitu 120 bahagian per juta.
“Sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, kita akan membuat muka sauk kedua yang bebas daripada pengaruh air masin.
“Saya telah berbincang dengan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan jurutera air daerah untuk mengenal pasti muka sauk kedua bagi LRA Limbahau. Maka, apabila kemarau dan air masin masuk ke sini, kita akan gunakan muka sauk kedua bagi memastikan loji ini terus beroperasi,” katanya semasa lawatan ke LRA Limbahau, hari ini.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya itu berkata, proses untuk membuat muka sauk kedua ini akan mengambil masa enam hingga lapan bulan. Anggaran kos secara terperinci belum dapat dikenal pasti namun, berdasarkan anggaran awal, kerajaan negeri mampu melaksanakannya.
Mengulas lanjut katanya, dalam mesyuarat Kabinet semalam, Ketua Menteri juga bersetuju untuk melakukan pembenihan awan di kawasan hulu yang merupakan kawasan tadahan air.
Ahli Parlimen Putatan itu berkata, pembenihan awan akan dilakukan dalam masa terdekat selepas pejabat daerah bersama Jabatan Hal Ehwal Keselamatan Dalam Negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melihat kebolehlaksanaan pembenihan awan.
Jelas beliau, tahap air di empangan berada dalam keadaan baik dan mampu bertahan dalam tempoh tiga bulan semasa musim kemarau ini.
Setakat ini, hanya kawasan Pulau Sebatik di Tawau yang menggunakan sistem telaga tiub mengalami kekeringan maka, pembenihan awan juga akan dilakukan di kawasan berkenaan untuk membolehkan mereka mendapat bekalan air.
































