Hidangan ayam mentega yang popular di India dan menjadi pertikaian dua restoran di New Delhi.
NEW DELHI: Dua restoran popular di New Delhi membawa kes ke mahkamah selepas pertelingkahan tentang pencipta sah resipi hidangan ayam mentega yang terkenal di India.
Menurut Utusan Malaysia, Restoran Moti Mahal yang dimiliki oleh keluarga Kundan Lal Gujral menyaman rangkaian restoran pesaing, Daryaganj kerana menggunakan slogan ‘Pencipta Ayam Mentega dan Dal Makhani’, yang didakwa boleh mengelirukan orang ramai.
“Ia sebenarnya adalah warisan kami dan kami tidak mahu warisan kami terganggu walau apa cara sekali pun,” kata Pemilik Moti Mahal, Monish Gujral.
Bagaimanapun, pemilik Daryaganj mendakwa mempunyai kepentingan dalam warisan resipi turun-temurun keluarga mereka.
“Saya ingin menjelaskan bahawa apabila kami memulakan jenama ini, niat kami adalah untuk memberi penghormatan kepada legasi Kundan Lal Jaggi.
“Kami menghargai semua yang telah dilakukannya dan bagaimana dia mengubah masakan makanan India untuk dunia,” kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Daryaganj Restaurants, Amit Bagga.
Lapor Channel News Asia (CNA), dua restoran tersebut berdepan pertikaian undang-undang yang sengit untuk menggelarkan diri mereka sebagai pencipta sah hidangan ayam yang dimasak dalam ketuhar bersama kari puri tomato dan mentega.
Ayam mentega menjadi antara hidangan paling ikonik dalam masakan India dan sering dihidangkan di banyak negeri termasuk restoran mewah dan gerai jalanan.
Resipi itu dimulakan oleh dua lelaki dari keturunan berbeza bernama Kundan Lal Gujral dan Kundan Lal Jaggi yang datang ke New Delhi dari Peshawar pada tahun 1947.
Kedua-duanya bekerjasama untuk menubuhkan sebuah restoran bernama Moti Mahal yang kemudian menjadi premis terkenal melayani pelanggan ternama seperti bekas Perdana Menteri pertama India, Jawaharlal Nehru, bekas presiden Amerika Syarikat(AS), John F. Kennedy dan selebriti dari setiap lapisan masyarakat.
Mahkamah di New Delhi dilaporkan akan meneruskan pendengaran kes berhubung perebutan hak cipta resipi masakan tersebut pada Mei ini.
Ramai penduduk dan peniaga di India berpendapat tiada sesiapa pun berhak memiliki hak cipta ke atas resipi masakan yang sudah menjadi warisan negara itu.