Ahli kumpulan ‘Geng Upik’ diiring ketat oleh pasukan polis di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Dua lagi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Upik’ didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh Norsyafilah Pawawoi,28, dan Zulkahar Dusing,29, masing-masing didakwa telah menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Upik’.
Norsyafilah didakwa telah menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Upik’ antara 2015 dan 28 Julai 2016 manakala, Zulkahar juga didakwa terlibat dengan kumpulan yang sama antara 2021 dan 3 Mei 2023.
Atas kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan [Akta 574] dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun.
Norsyafilah kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun atas kesalahan di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Dia dijatuhi hukuman penjara sejak 2016.
Zulkahar pula ditahan reman di Penjara Tawau sejak 2022 untuk kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan semasa kes dibacakan dihadapan Hakim, Noor Hafizah Mohd. Salim.
Hakim kemudiannya menetapkan 22 Mac sebagai tarikh serahan dokumen untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mat Radzi dan Lina Hanini Ismail manakala, kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
































