Saripudin (dua dari kanan) bersama sebahagian daripada peserta kursus.
TAWAU: Rakyat diseru agar mengambil peluang-peluang berbentuk kursus sama ada ditawarkan oleh pihak Kerajaan mahupun pihak swasta yang diiktiraf untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, kursus seperti seni jahitan kreatif dan pengurusan media sosial boleh membantu menjana pendapatan.
Katanya, tidak dapat dinafikan bahawa seni jahitan kreatif merupakan salah satu penyumbang kepada ekonomi negara, di mana industri ini banyak melahirkan usahawan yang berjaya dalam bidang yang diceburi.
“Dalam konteks seni jahitan kreatif, ada di kalangan pengusaha yang berjaya mengubah taraf hidup mereka kepada yang lebih baik kerana ramai pelancong dari negara luar yang meminati jahitan dan kraftangan yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan.
“Bahkan, ada juga pelancong yang menempah khas jahitan dan kraftangan pengusaha tempatan tersebut dalam kuantiti yang besar untuk dibawa pulang ke negara asal mereka untuk dijual.

“Ini sebenarnya sesuatu yang sangat baik kerana dengan adanya kemahiran kreatif sebegini, serta dengan adanya bantuan-bantuan yang ditawarkan oleh Kerajaan kepada pengusaha-pengusaha sebegini, ianya juga membantu mempromosikan Malaysia secara tidak langsung kepada dunia luar.
“Karya-karya jahitan kreatif juga dapat mengharumkan nama Malaysia sekiranya dipertandingkan pada peringkat dunia,” kata ADUN Tanjung Batu itu ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Y23 – SP177: Seni Jahitan Kreatif & Pengurusan Media Sosial di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kalabakan, Saripudin Nuhalim.
Andi yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata, kursus pengurusan media sosial dapat membantu mempromosi dan memperkembangkan perniagaan yang diceburi.
“Seperti yang kita maklum, dunia hari ini adalah distilahkan sebagai dunia tanpa sempadan dengan adanya kecanggihan teknologi maklumat yang diibaratkan sebagai informasi di hujung jari.
“Sebagai pengusaha dalam apa industri sekalipun, jika kita pandai memanfaatkan teknologi melalui pengurusan media sosial, Insya-Allah, perniagaan kita pasti akan
berkembang dengan maju dengan adanya promosi berterusan di pelbagai platform atas talian yang ada pada hari ini,” ujarnya.
Andi berharap semua peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya apa yang dipelajari mereka dalam kursus selama tiga minggu itu.
Mengucapkan tahniah kepada para peserta dan penganjur kursus selama tiga minggu itu, beliau berharap lebih banyak kursus seumpama itu dianjurkan pada masa akan datang.






























