Pasukan penyalamat melaksanakan SAR di Gunung Angsi bagi mencari enam pendaki yang dikhuatiri sesat di gunung tersebut.-Gambar/Ihsan Bomba.
KUALA PILAH: Seramai enam orang pendaki iaitu empat wanita dan dua lelaki dikhuatiri sesat di Gunung Angsi di sini malam tadi.
Ketua Zon 3 Negeri Sembilan, Penguasa Bomba, Yusry Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima makluman kejadian tersebut daripada pihak polis pada pukul 7.31 malam tadi.
Menurutnya, pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Menanti tiba di lokasi kejadian 10 minit selepas aduan diterima.
Pihaknya kemudian mendapati terdapat dua buah kenderaan iaitu sebuah Perodua Axia dan sebuah Perodua Bezza diletakkan di kaki gunung berkenaan.
“Kesemua mangsa iaitu empat wanita dan dua lelaki berusia lingkungan 28 tahun hingga 42 tahun didapati telah mendaftar terlebih dahulu di pondok pejabat Jabatan Perhutanan.
“Bagaimanapun, sehingga lewat petang, kesemuanya yang dipercayai dari Selangor masih belum mendaftar keluar dari gunung berkenaan.
“Pasukan penyelamat antaranya terdiri daripada bomba dan polis telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sehingga ke puncak namun tidak terdapat sebarang jejak mangsa di sana,” katanya ketika dihubungi, di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Yusry berkata, pencarian akan diteruskan malam ini dengan pecahan ke tiga lokasi laluan yang dijangka mangsa akan turun iaitu di Ulu Bendul, Kampung JKIN dan di Taman Tuanku Jaafar di Seremban.
Difahamkan, sehingga kini kesemuan mangsa tidak dapat dihubungi melalui talian telefon.


































