PETALING JAYA: Penularan khabar angin kononnya bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud berada dalam keadaan kritikal adalah tidak benar.
Menurut Utusan Malaysia, Isteri Abdul Taib, Toh Puan Raghad Kurdi Taib menafikan suaminya berada keadaan kritikal seperti digambarkan dalam beberapa hantaran berita media sosial sejak minggu lalu.
“Baru-baru ini saya menerima makluman mengenai sebuah hantaran dalam talian mengenai lawatan ke hospital, yang menampilkan gambar yang didakwa sebagai suami saya, Tun Taib, dalam keadaan kritikal.
“Saya ingin menyatakan kepada semua bahawa gambar itu bukan beliau, tetapi orang lain. Agensi berita telah mengesahkan bahawa gambar itu adalah orang lain,” tulisnya menerusi aplikasi Instagram beliau hari ini.
Sejak minggu lalu, tular sekeping gambar yang kononnya mendakwa Abdul Taib kini berada dalam keadaan tenat.
Dalam pada itu, Raghad mahu semua blog dan portal media menurunkan berita berkenaan untuk melindungi kedua-dua individu dalam gambar serta peribadi suaminya.
“Tun Taib masih dalam pemulihan dan kami sedang menerima rawatan yang sewajarnya di hospital tempat beliau tinggal di KL (Kuala Lumpur). Semoga kami sentiasa dalam doa anda,” tulisnya.


































