Johari Abdul
KUALA LUMPUR: Enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dianggap tidak melompat parti meskipun mereka menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, justeru itu kedudukan ahli Parlimen tersebut tidak terjejas atau menyaksikan kekosongan kerusi tidak berlaku untuk membuka laluan kepada pilihan raya kecil (PRK).
“Apa yang penting mereka perlu menyatakan secara bertulis bahawa mereka masih kekal ahli parti tersebut.
“Pada saya selagi mereka kata mereka tidak lompat dia tidak meninggalkan partinya, nyatakan secara bertulis yang mereka masih ahli Bersatu, dia sokong PM. Jadi apa masalahnya?” katanya dalam Perjumpaan Yang Dipertua Dewan Rakyat bersama Ketua Pengarang Media di Parlimen hari ini.
Sebelum ini, Bersatu mahu mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada Mac ini antara lain bagi meminda perlembagaan parti itu susulan tindakan enam Ahli Parlimennya menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Anwar.
Setakat ini, enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang).
Selain itu, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Dalam pada itu, Johari berkata beliau tidak mahu campur tangan urusan parti tersebut sebaliknya menawarkan Ahli Parlimen tersebut sekiranya mereka ingin menukar tempat duduk di dalam Dewan Rakyat.
“Ada dalam peraturan mesyuarat, juga hak Yang Dipertua Dewan Rakyat, atas permohonan Ahli Parlimen, saya boleh melayan permintaan mereka untuk tukar tempat duduk.
“Jika mereka mahu berpindah mereka boleh tulis kepada saya, email, atau mesej saya,” katanya






























