Jahid menyampaikan hadiah kepada Aziezul Rosundin yang bersama Siti Farina Terah bakal mewakili Daerah Kecil Tamparuli
TAMPARULI: Umat Islam yang berpegang teguh dengan ajaran Islam seperti mana yang terkandung di dalam Kitab Suci, akan menjadi umat bertamadun, kuat dan bersatu padu serta hidup dalam suasana aman dan berkasih sayang.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata, Kitab Suci yang diturunkan lebih 1400 tahun dahulu mampu membimbing manusia dalam setiap zaman untuk mencapai kemajuan dan kejayaan hidup dan akhirat.
“Sebaliknya jika mereka mengabaikannya, maka mereka akan terjebak ke dalam yang memundur dan merosakkan ummah seperti perpecahan, lemah, tidak berani bersaing, takut menghadapi cabaran, dengki sesama sendiri, mudah terpengaruh dan ajaran salah dan menyesatkan, malahan mereka juga sengaja membiarkan diri mereka terdedah kepada kemurkaan Allah SWT,” katanya ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kecil Tamparuli 1445H/2024M, di Masjid Ubudiyyah Pekan Tamparuli, di sini, hari ini.
Turut hadir Pegawai Tadbir Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Kecil Tamparuli, Ustaz Suffian Kundu ya g juga Pengerusi Pelaksana program dan Pengerusi Masjid Ubudiyyah, Salim Osman.
Katanya, amalan mengadakan Majlis Tilawah, selain menegakkan syiar Islam, juga sebagai platform kepada umat Islam untuk mendekati, menghayati serta mengamalkan petunjuk dan panduan yang terkandung dalam Al-Quran.
Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, berkata, sejarah merakamkan bahawa kebanyakan empayar agung Islam suatu masa dahulu seperti kerajaan Umayyah dan Abbasiyah mampu bertahan dan mengekalkan kegemilangannya selagi mereka dapat memastikan ajaran Islam diikuti dan dihayati.
“Tetapi tatkala ajaran Islam mula dipinggirkan, maka kita dapati empayar-empayar yang menjadi kebanggaan ini mulai jatu satu demi satu,” tambahnya.
Justeru, sempena Majlis Tilawah Al-Quran tersebut, beliau mengajak semua yang hadir untuk sama-sama memperbaharui tekad dan iltizam untuk menguat dan meneguhkan iman serta penghayatan Islam.
“Mudah-mudahan negara kita dan umat Islam di rantau ini akan muncul sebagai sebuah negara dan satu bangsa yang maju, disegani di mata dunia, serta mampu mengembalikan keagungan Islam seperti masa lampau.
Dalam pada itu, Jahid turut menghargai usaha pihak penganjur yang telah mengadakan Majlis Tilawah Al-Quran di daerah sendiri kali ini, yang mana majlis selama ini bergabung dengan daerah Tuaran, dengan harapan para pemenang dapat bersaing di peringkat lebih tinggi kelak.
Terdahulu, Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Kecil Tamparuli, yang juga Pengerusi Pelaksana Majlis, Ustaz Suffian Kundu berkata, beliau akan menyahut cabaran dan cadangan Jahid untuk mengadakan kelas pembacaan Al-Quran bertaranum di Tamparuli, sebagai persediaan Tilawah Al-Quran pada masa akan datang.
Hadir sama ialah Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar dan kakitangan Pejabat Menteri, Penolong Pegawai Daerah Tuaran, Alfian Amir mewakili Pegawai Daerah Tuaran, ASP Mahmood Mohd Mustahed mewakili Ketua Balai Polis Daerah Tuaran, dan wakil Pusat Reintegrasi Penghuni Tuaran, IP Abdul Latif Abd Taat.
































