Liew (tengah), diapit Mustapha (di sebelah kanannya) dan Peto, dan tetamu lain menyampaikan ucapan “Gong Xi Fa Cai” kepada penduduk Inanam.
KOTA KINABALU: Inanam mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan berasaskan komuniti, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.
Beliau menambah sebahagian besar kawasan itu berada dalam Rizab Biosfera Crocker Range (CRBR) yang merupakan salah satu daripada tiga tapak pengiktirafan Unesco di Sabah.
CRBR telah diisytiharkan sebagai tapak Unesco pada Jun 2014.
Terletak di selatan Tapak Warisan Dunia Unesco Taman Kinabalu, CRBR membentuk rantaian gunung di barat Sabah. Topografi berbatu kebanyakannya terdiri daripada gunung dan bukit. Rizab biosfera ini meliputi kawasan seluas 350,584 hektar, merangkumi kepelbagaian biologi yang kaya dan landskap bukit-bukit tropika.
“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap pelancongan, saya akan cuba sedaya upaya untuk mempromosikan kawasan ini menjadi salah satu hab pelancongan terbaik di Sabah,” katanya ketika melancarkan Sambutan Tahun Baharu Cina bagi DUN Inanam, di sini, hari ini.
“Justeru, saya menyeru masyarakat di Inanam tidak kira kaum, bangsa dan agama agar terus menyokong agenda pembangunan Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, dan juga Kerajaan Persekutuan khususnya usaha Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa negara kita ke persada dunia.
“Jika kita dapat mencapai aspirasi kita bersama-sama, maka usaha kita akan menjana manfaat sosioekonomi yang besar untuk penduduk di kawasan DUN Inanam.”
Sementara itu, Liew berkata, naga dalam zodiak Cina melambangkan kemakmuran, tuah dan tenaga positif, serta melambangkan nilai ketabahan, keberanian dan perpaduan.
Majlis itu ditaja oleh Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Peto Galim, yang juga ADUN Inanam.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Ts Mustapha Sakmud, Pembantu Menteri Kewangan, Tan Lee Fatt, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Dr Roland Chia, Timbalan Ketua Pengarah (Kewangan) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Lifred Wong yang mewakili Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk William Majinbon yang mewakili Parti Bersatu Sabah (PBS), Pengerusi Penganjur, Leslie Chin, Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pelancongan Sabah, Thonny Chee dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabapak Eco, Remysta Taylor.