Tekong warga tempatan (tengah) bersama empat PATI warganegara Indonesia yang cuba diseludup keluar ke Tanjung Balai, Indonesia ditahan Maritim Malaysia, semalam.
PONTIAN: Tindakan seorang tekong tempatan yang cuba menyeludup keluar empat orang pendatang asing tanpa izin (PATI) membawa padah.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Nurul Nizam Zakaria berkata, mereka ditahan di kedudukan 1.6 batu nautika Tanjung Piai pada pukul 8 malam tadi.
Katanya, bot Agensi Penguatkuasaan Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengesan sebuah bot fiber tidak bernombor dalam keadaan mencurigakan.
“Melihat kehadiran kami, bot tersebut terus memecut laju ke arah perairan Indonesia.
“Namun, kami berjaya pintas dan hasil pemeriksaan menemukan empat lelaki warganegara Indonesia berumur antara 25 hingga 38 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambah Nurul Nizam, tekong darat warga tempatan berusia 48 tahun.
Hasil siasatan mendapati mereka semua dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia.
Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959 kerana kesalahan keluar masuk melalui jalan tidak diwartakan.
Tekong darat tempatan pula disiasat di bawah Seksyen 26B Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan sebat.




























