Penguncupan saiz bulan membentuk lipatan yang boleh mencetuskan gempa serta tanah runtuh.
WASHINGTON: Kajian terbaharu mendapati bulan kini semakin mengecut secara beransur-ansur, membawa kepada peningkatan jumlah tanah runtuh yang mungkin mengancam angkasawan pada masa depan.
Menurut Utusan Malaysia, satelit semula jadi bumi itu kehilangan lilitan sehingga 100 meter sejak beberapa ratus juta tahun yang lalu apabila terasnya menjadi sejuk.
“Poses pengecutan itu menyebabkan permukaan melengkung yang ketara di bahagian kutub selatan bulan termasuk kawasan yang dicadangkan untuk pendaratan Artemis III milik Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) bersama anak kapalnya,” kata pasukan penyelidik dari Universiti Maryland.
Fenomena itu juga dikhuatiri turut disertai dengan aktiviti seismik seperti gempa bulan di lokasi berhampiran zon rekahan yang boleh mendatangkan bahaya kepada penjelajahan manusia masa hadapan.
“Taburan global tujahan baharu dan potensinya untuk menjadi aktif serta kajian penguncupan global yang berterusan perlu dipertimbangkan semasa merancang lokasi dan kestabilan pos pendaratan tetap di bulan,” kata pengarang bersama kajian, Thomas Watters dari Muzium Udara dan Angkasa Negara.
Dalam kajian baharu itu, penyelidik mengaitkan lokasi sesar atau rekahan yang terletak di kawasan kutub selatan bulan dengan salah satu gempa bulan paling kuat yang direkodkan oleh seismometer Apollo lebih 50 tahun lalu.
Saintis mendapati, beberapa kawasan di kutub selatan bulan sangat terdedah kepada tanah runtuh akibat gegaran seismik.
“Sama seperti gempa bumi, gempa bulan disebabkan oleh kerosakan di bahagian dalam bulan dan boleh menjadi cukup kuat untuk merosakkan struktur serta peralatan buatan manusia di permukaan bulan,” jelas Watters.






























