PETALING JAYA: Beberapa akaun persendirian milik seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri yang dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini melibatkan jumlah bernilai RM80 juta.
Semua akaun bank berkenaan berada di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, SPRM kini dalam proses mengesan aset-aset lain milik ahli perniagaan itu untuk siasatan lanjut berkaitan kontrak yang diberikan kepada sebuah syarikat pembekal kenderaan kerajaan.
“SPRM turut giat mengesan pelaburan-pelaburan yang dibuat oleh ahli perniagaan itu. Setakat ini, seramai 25 saksi telah dipanggil terdiri daripada 15 individu dari agensi kerajaan manakala 10 lagi mereka dari syarikat pembekal kenderaan kerajaan yang disiasat,” katanya di sini.
Kelmarin, SPRM mengesahkan telah membekukan beberapa akaun bank persendirian milik seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bernilai kira-kira puluhan juta ringgit.
Pembekuan tersebut susulan siasatan dijalankan SPRM terhadap seorang ahli perniagaan berkaitan kontrak yang diberikan kepada sebuah syarikat pembekal kenderaan kerajaan sejak Julai tahun lalu.
SPRM juga menyerbu kediaman dan syarikat ahli perniagaan berusia 70-an tersebut dan memperoleh dokumen berkaitan kewangan yang boleh membantu siasatan.
Lebih 100 akaun persendirian dan syarikat bernilai jutaan ringgit yang berada di bawah kawalan Tan Sri berkenaan telah dianalisis bagi melihat trend pemindahan wang kepada individu tertentu.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan SPRM sedang menyiasat penglibatan individu tertentu dalam kerajaan berhubung dakwaan rasuah bagi mendapatkan perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan Malaysia bernilai RM4.5 bilion.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan SPRM ketika ini ditumpukan kepada bagaimana pemberian perolehan kontrak kerajaan itu kepada syarikat yang disiasat.
Kata beliau, perolehan berkenaan dikatakan telah diberikan kepada syarikat berkenaan sejak 2000.
Pada 19 Januari lalu, Utusan Malaysia mendedahkan, kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri diserbu SPRM bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah itu.
Kehadiran pegawai SPRM di kediaman ahli perniagaan yang terletak di ibu negara itu dipercayai dilakukan pada pukul 10 pagi.
Turut diserbu empat syarikat termasuk salah satu daripadanya merupakan pembekal kenderaan kerajaan yang telah dihadiri pegawai SPRM bagi mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan.
Tiga lagi syarikat yang diserbu merupakan entiti yang melaksanakan pelaburan membabitkan kewangan milik Tan Sri itu.
Utusan Malaysia difahamkan, tindakan yang diambil SPRM ini adalah kesinambungan kepada siasatan yang dilakukan suruhanjaya ini sejak Julai tahun lalu lagi.
Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009.
Pada Julai tahun lalu, seorang taikun perniagaan mendedahkan dirinya telah menyaman kerajaan Malaysia atas isu penamatan surat niat (LOI) yang ditawarkan kepada dua syarikat selepas seorang pemimpin mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Mac 2020.
Beliau turut mendedahkan, kontrak yang diberikan kepada syarikat pembekal kenderaan kerajaan yang dilantik adalah RM700 juta lebih tinggi.
Rentetan itu, pelbagai pihak tampil membuat laporan menggesa SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan dan pendedahan ahli perniagaan itu.


































