Tertuduh, Daniel Dean Wong Kok Ching semasa hadir ke Mahkamah Majistret di Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Seorang ejen hartanah didakwa atas dua pertuduhan iaitu melakukan ugutan jenayah dan menyebabkan kecederaan terhadap guru yang mengambil tindakan terhadap anaknya yang didapati merokok semasa berada di sekolah.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, Daniel Dean Wong Kok Ching,49, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan dihadapan Majistret, Stephanie Sherron Abbie di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Dalam pertuduhan pertama, Daniel didakwa melakukan ugutan jenayah secara lisan dengan mengugut seorang guru lelaki berusia 40 tahun di pekarangan gelanggang bola keranjang di sebuah sekolah menengah pada 29 Januari lalu, kira-kira pukul 9.30 pagi.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap seorang lagi guru lelaki berusia 40 tahun pada masa dan tempat yang sama.
Atas kesalahan itu, tertuduh akan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun yang sama.
Di bawah Seksyen 506, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali manakala, mengikut Seksyen 323 pula, tertuduh boleh dihukum penjara selama setahun atau dengan denda boleh sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut menetapkan 7 Mac depan sebagai tarikh pengurusan kes sebelum perbicaraan dan tertuduh dibenarkan diikat jamin dengan bayaran RM3,000 beserta dua penjamin tempatan.
Kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Nahra Dollah bersama Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohamad Ramli dan Rustam Sanip manakala, tertuduh diwakili peguam, Lim Chun Yuan and Jo Anne Jameson.
Terdahulu, Nahra menawarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 untuk kedua-dua kes dengan dua penjamin tempatan.
Namun, peguam mewakili tertuduh meminta mahkamah agar mengurangkan bayaran jaminan dengan alasan ikat jamin hanya untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah dan bukannya sebagai hukuman.
Ahli keluarga termasuk anak tertuduh yang dikenakan tindakan kerana didapati merokok di sekolah turut hadir dalam sebutan kes hari ini.
Pada Isnin, tular sebuah rakaman video menunjukkan tertuduh dan anaknya bergaduh dengan guru-guru di sekolah selepas anaknya ditahan oleh sekolah kerana didapati merokok di tandas sekolah.
Menurut Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin, pelajar tingkatan lima itu telah pun dibuang sekolah namun, masih dibenarkan untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Raisin berkata, setiap calon SPM hendaklah akur kepada peraturan sedia ada di sekolah selain menjaga tingkah laku yang baik dan tidak mengganggu perjalanan peperiksaan.






























