TANJUNG MALIM: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menawarkan pembiayaan pendidikan boleh ubah kepada pelajar-pelajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengikuti pengajian bahasa etnik di universiti tersebut.
Melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara YBR dan UPSI, sejumlah RM7.5 juta disediakan bagi tempoh lima tahun dengan sasaran 30 orang pelajar setiap tahun yang akan mendapat manfaat tersebut.
MoU tersebut ditandatangani oleh UPSI yang diwakili oleh Naib Canselor Naib Canselor UPSI Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff dan YBR yang diwakili oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Datuk Philip Lasimbang.
UPSI menawarkan pengajian major bagi bahasa Kadazandusun, Iban dan Semai iaitu bahasa etnik yang dimasukkan dalam kurikulum pendidikan negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut hari ini, menyifatkan inisiatif satu langkah ke hadapan bagi mengiktiraf dan memperkasakan peranan bahasa ibunda di negara ini.
“Saya berbangga kerana pengajian minor bahasa Kadazandusun yang diperkenalkan di UPSI pada tahun 2010 kini diperkasakan hari melalui tawaran pembiayaan pengajian. Pada saya, ini merupakan satu bentuk penghormatan dan pengiktirafan kepada bahasa-bahasa ibunda di negara kita.
“Dalam sudut keusahawanan, bahasa etnik mempunyai pengaruh. Contohnya pemasaran dan promosi sesebuah produk dan perkhidmatan yang dibuat dalam bahasa etnik, selain daripada bahasa kebangsaan dan bahasa utama dunia, boleh menarik minat etnik tersebut.
“Dalam masa yang sama, kita harus promosikan penguasaan sekurang-kurangnya tiga bahasa di kalangan rakyat Malaysia iaitu bahasa kebangsaan, bahasa ibunda dan sekurang-kurangnya satu bahasa utama antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU tersebut di UPSI, di sini, hari ini.
Turut sama hadir ialah mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok yang melancarkan pengajian minor Kadazandusun di UPSI pada tahun 2010.
Sementara itu, Ewon berkata, identiti negara yang berasaskan kepada kemajmukan rakyat mesti dihormati, diperkasa dan dipertahankan.
“Negara Malaysia selama ini dikenali sebagai negara berbilang kaum, agama, bahasa, budaya dan adat resam. Kemajmukan rakyat ini seharusnya menjadi kekuatan negara dan mesti dipertahankan bagi mengelak kita terperangkap dengan politik identiti.
“Justeru, peranan institusi pengajian seperti kampus universiti sangat besar terutama menyediakan persekitaran ke arah rasa hormat, toleransi dan semangat kerjasama terutama di kalangan mahasiswanya. Kita bukan hanya mahu mengeluarkan graduan yang berkualiti tetapi juga graduan yang berupaya menjadikan kemajmukan rakyat sebagai kekuatan dalam membina negara ini,” katanya.
“UPSI mempunyai kekuatan tersendiri kerana daripada sekitar 30,000 mahasiswa di sini, sejumlah sekitar 7,000 orang mahasiswanya adalah dari Sabah dan Sarawak. Ini boleh membentuk pembudayaan semangat saling menghormati, bertoleransi dan bekerjasama di kalangan mahasiswa.
“Saya akan terus mendukung inisiatif yang bersifat memperkasa dan memperdayakan kemajmukan rakyat negara kita termasuk penganjuran program-program di kampus-kampus pengajian dan institusi pendidikan lain.
“MoU di antara UPSI dan YBR hari ini juga merupakan satu pengiktirafan oleh pimpinan kerajaan dan agensi ke atas kepentingan bahasa etnik dan boleh memperkasakan sense of belonging rakyat pelbagai kaum di negara ini. Dengan demikian semangat patriotik oleh komuniti etnik menebal kerana mereka dihargai dan diperkasakan oleh kerajaan,” katanya.