Ewon menyampaikan Dokumen Pelajar Pembiayaan Pendidikan Yayasan Angkasa dan Anugerah Pelajar Cemerlang 2023 kepada seorang daripada penerima.
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak RM500,000 dana daripada Kumpulan Wang Amanah Koperasi akan disalurkan kepada Angkasa untuk biasiswa pendidikan pelajar B40 mulai tahun ini.
Beliau berkata, ia bertujuan untuk membantu para pelajar terutamanya kalangan B40 yang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi.
“Sebagai komitmen kerajaan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kita telah bersetuju untuk menyalurkan sebanyak RM500,000 daripada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi kepada Angkasa untuk digunakan membantu para pelajar terutamanya golongan B40 yang melanjutkan pengajian di universiti atau kolej, bermula tahun ini.
“Kita juga merancang agar Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) menjadi pilihan untuk dibantu melalui dana ini.
“Bukan sahaja untuk tujuan pembiayaan yuran pengajian tetapi keperluan dan kelengkapan lain yang diperlukan oleh mahahiswa, contohnya pembelian laptop,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Penyerahan Dokumen Pelajar Pembiayaan Pendidikan Yayasan Angkasa dan Anugerah Pelajar Cemerlang 2023, di Auditorium Wisma Ungku Aziz, di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden Angkasa merangkap Pengerusi Yayasan Angkasa Datuk Seri Dr.Abdul Fattah Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar.
Ewon berharap melalui dana itu akan dapat membantu lebih ramai pelajar selaras dengan hasrat kerajaan mengutamakan pendidikan.
“Saya juga berharap agar ia dapat menggalakkan rakyat negara ini terus menyertai gerakan koperasi kerana salah satu syarat untuk mendapatkan pembiayaan pendidikan daripada Yayasan Angkasa ialah, anak itu atau pelajar berkenaan harus menjadi anggota koperasi atau ibu bapa mereka adalah anggota kepada mana-mana koperasi,” katanya.
Pada majls itu seramai 193 pelajar instituti pengajian tinggi menerima pembiayaan pendidikan Yayasan Angkasa melibatkan pembiayaan sejumlah RM2.438 juta.
Daripada jumlah keseluruhan pelajar berkenaan, 156 pelajar sepenuh masa Ijazah Sarjana Muda, 37 pelajar separuh masa yang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Dalam ucapannya, Ewon berkata, sejak tahun 2000 hingga 2023, Angkasa telah menyalurkan peruntukkan pembiayaan pendidikan sebanyak RM26 juta kepada Yayasan Angkasa dan RM6.2 juta daripada sumbangan luar menjadikan keseluruhan peruntukan RM32.2 juta.
“Ia memberi manfaat kepada seramai 1,699 anggota dan anak-anak anggota koperasi,” katanya.
Ewon berkata, usaha murni Angkasa melaksanakan tanggungjawab sosial membantu anggota dan anak-anak anggota koperasi dengan menyalurkan peruntukkan tahunan kepada Yayasan Angkasa selaras dengan peranannya untuk memperkasakan taraf pendidikan dan pembangunan modal insan warga koperasi.
“Saya berharap para pelajar yang menerima pembiayaan daripada Yayasan Angkasa, setelah tamat pengajian dapat meyumbangkan kepada pembangunan koperasi dan menceburi bidang keusahawanan.
“Saya juga menggesa agar para pelajar mengujudkan koperasi di komuniti masing-masing, kerana saya percaya bidang keusahawanan melalui koperasi dapat membantu meningkatkan pendapatan dan ekonomi masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, Kementeriannya melalui agensi-agensi di bawah kementerian ini seperti Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menyediakan pelbagai latihan dan program keusahawanan.
“Selain itu, IKMa iaitu agensi di bawah kementerian juga mempunyai universiti sendiri iaitu Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) yang menawarkan pengajian peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang keusahawanan,” katanya.


































