Jahid menyampaikan amanat pada majlis tersebut.
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) telah mewujudkan dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pemandu Program Pembangunan bagi memastikan program pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan efisien.
Menterinya, Datuk Jahid Jahim berkata, Jawatankuasa Pemandu dipengerusikan oleh saya sendiri, manakala Jawatankuasa Pemantauan Program Pembangunan dipengerusikan oleh. Setiausaha Tetap KPLBS, Datuk Norlijah Hj. Danin.
Selain itu, Jahid juga amat berharap agar capaian real-time data dapat diakses dengan pantas dan mudah.
“Perkara ini saya tekankan kerana dalam kita menelusuri kemajuan teknologi dan Revolusi Industri 4.0, pemantapan pengurusan data adalah amat penting bagi kita mengiktiraf, mencerap dan menelusuri data terkini serta menetapkan budaya pengurusan data dalam melaksanakan program, dasar dan projek di Kementerian ini.
“Kementerian ini dapat membantu Kerajaan dalam membuat keputusan dan dasar.
“Justeru, saya berharap agar semua yang diberi tanggungjawab untuk memastikan data Sistem Aplikasi Profil Kampung Sabah (SAPKS) dan dashboard pembangunan sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri di Kementeriannya di Sembulan, di sini, kelmarin.

Jahid bergambar bersama Pegawai-pegawai Daerah dan Penolong-penolong Pegawai Daerah yang hadir.
Jahid yang juga ADUN Tamparuli turut meluahkan keyakinan bahawa dengan kekuatan pasukan yang ada, KPLBS akan berjaya mengharungi cabaran yang dihadapi negeri pada masa ini dan memberikan yang terbaik untuk memastikan agenda pembangunan luar bandar akan terus dapat dilaksanakan.
“Kita mempunyai data yang tepat dan sentiasa dikemas kini supaya menjadi satu rujukan kepada Kerajaan.
“Kerana itu, di dalam kita memberikan perkhidmatan kepada rakyat, kita hendaklah pastikan sentiasa ada penambahbaikan sama ada dari segi sistem, peraturan, proses kerja, serta penghasilannya agar ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita tidak boleh selesa dengan yang rutin dan perlu bingkas keluar dari kepompong keselesaan. Kita perlulah mempunyai iltizam dan semangat juang untuk mencabar keyakinan diri kita bagi memberikan terbaik daripada amanah yang diberikan,” katanya.
Pencapaian Tahun 2023
Terdahulu, Jahid berkata, sepanjang tahun 2023, banyak juga yang telah KPLBS capai bagi membantu rakyat untuk kesejahteraan rakyat luar bandar lebih-lebih lagi bagi menoktah kemiskinan tegar.
Menurutnya, kerjasama erat antara warga KPLBS serta pihak berkepentingan banyak membantu pencapaian memberangsangkan Kementerian ini pada tahun 2023.
Secara keseluruhannya, beliau berkata, prestasi perbelanjaan sehingga 31 Disember 2023 menunjukkan bahawa Kementerian ini hampir mengoptimumkan peruntukan yang telah diagihkan yang mana bagi projek pembangunan pembiayaan Kerajaan Negeri RMK12 tahun 2023 adalah 99.53 peratus iaitu dengan nilai RM221,156,987.50 (RM221.1 juta) manakala peruntukan perbekalan dibelanjakan sebanyak 62.44 peratus dengan nilai RM21,439,878.97 (RM21.4 juta).
“Bagi program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), Kementerian telah menyalurkan 100%peruntukan kuota iaitu 1,500 unit kepada semua pejabat pelaksana. Setakat 31 Disember 2023 sebanyak 1,023 unit telah siap.
“Bagi program Rumah Mesra SMJ kuota 2023, Kementerian telah menyalurkan peruntukan untuk 312 unit. Peruntukan ini telah diagihkan kepada 11 daerah,” jelasnya.
Beliau berkata, Kementerian juga telah membentang Rang Undang-undang Pentadbiran Luar Bandar (Pindaan) 2023 semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri yang baru selesai berlangsung pada bulan November 2023.
“Rang Undang-undang tersebut adalah berkaitan dengan JKKK untuk memantapkan lagi institusi badan pentadbiran JKKK dan sebagai satu sumber kuasa dalam melaksanakan tugas-tugas kampung masing-masing.
“Rang Undang-undang tersebut juga sebagai memberi sumber kuasa kepada pegawai daerah / pihak berkuasa untuk menubuhkan jawatankuasa di peringkat daerah dari segi pelantikan, penamatan, kawalan disiplin, mengadakan mesyuarat / menyediakan minit badan JKKK dan pembayaran elaun,” katanya.
































