Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap dalang yang jelas cuba mengaibkan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dengan cara memfitnah kononnya anak beliau terlibat dalam kartel dadah.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, paparan dalam media sosial itu bukan setakat palsu, tetapi satu kesalahan di sisi undang-undang kerana secara terang-terangan membuat tuduhan liar bertujuan mencemar nama baik keluarga Ketua Menteri Sabah.
“Tindakan jijik ini jelas bukan saja merupakan usaha menjejaskan imej Ketua Menteri tetapi juga Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin oleh beliau.
“Mungkinkah taktik kotor ini didalangi oleh pihak yang sebelum ini cuba menjatuhkan Kerajaan Negeri yang diterajui GRS tetapi gagal dan kini sudah ketandusan modal dan terdesak sehingga menyebarkan cerita yang direka-reka demi meraih sokongan politik?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nizam berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab ini harus ingat rakyat kini bijak menilai dan sudah pasti akan menolak pihak yang menggunakan taktik kotor dengan cara menyebarkan fitnah.
Beliau berharap laporan polis yang telah dibuat oleh Mohammad Reza Hajiji di Tuaran kelmarin membolehkan siasatan dijalankan agar dalang yang terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan.































