Shahelmey (kanan) memasukkan simkad dalam replika telefon mudah alih sebagai gimik perasmian.
KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) melancarkan aplikasi mudah alih, MyJANS.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, sejak negara dilanda pandemik pada tahun 2020, gelombang digital terus membadai masyarakat sejagat dan telah merubah lanskap hidup masyarakat di seluruh dunia.
“Selaras dengan perubahan ini, inisiatif MyDIGITAL telah dilancarkan oleh Kerajaan dalam usaha untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan teknologi dan pendigitalan.

Shahelmey berucap ketika majlis.
“Di peringkat negeri pula, kerajaan negeri telah memperkenalkan dan menggesa pelaksanaan inisiatif Pendigitalan ke era Kerajaan Pintar (Smart Government) menerusi konsep 5A yang membawa akronim “Accessible by Anyone at Anytime, Anywhere, by Any Mobile Device.
“Oleh itu, pendekatan JANS memperkenalkan MyJANS adalah sangat bertepatan dengan aspirasi kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun kerajaan persekutuan.
“Saya yakin akses pelanggan dan orang awam kepada JANS akan menjadi lebih mudah dengan wujudnya aplikasi ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran MyJANS di sini, pada Khamis.
Shahelmey berkata, aplikasi tersebut akan membuka ruang dan peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan JANS pada bila-bila dan di mana-mana sahaja tanpa sempadan dengan lebih mudah, cepat dan selamat.
“Antara perkhidmatan yang disediakan di dalam aplikasi tersebut ialah maklumat bil air, notis, aduan dan sebagainya,” tambahnya.
Shahelmey berharap pelancaran aplikasi tersebut menjadi titik perubahan kepada agensi-agensi kerajaan lain terutamanya yang berada di bawah Kementerian Kerja Raya Sabah untuk sama-sama berganding bahu dalam menjayakan agenda pendigitalan negara.
Hadir sama, Pembantu-pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury dan Datuk Robert Tawik; Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya, Datuk Ridhwan Roger Linus; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Dr. Ahemad Sade dan Pengarah JANS, Suhaimi Asbullah.
































