Masiung (dua kiri) bersama Musa (tiga kanan) semasa tradisi makan beralaskan daun pada majlis hari keluarga Milian.
TONGOD: Yayasan Pendidikan Tongod akan ditubuhkan bagi membantu pelajar di daerah ini yang layak tetapi tidak bermampuan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, langkah penubuhan yayasan ini merupakan solusi baharu bagi menambah bilangan anak muda yang berpendidikan tinggi.
“Kita yakin lebih ramai modal insan yang berjaya dapat dilahirkan menerusi bantuan yayasan itu nanti,” katanya pada majlis kesyukuran Keluarga Milian di Kampung Alitang dan Seriwati yang dihadiri lebih 300 orang ahli keluarga itu semalam.
Masiung berkata, kewujudan dua kilang terbesar yang akan beroperasi di Tongod tidak lama lagi akan membantu dari segi dana untuk yayasan pendidikan ini nanti.
Beliau merujuk kepada kilang klinker dan simen bersepadu yang dibangunkan Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd dekat Kampung Inarad dan kilang ternakan kinzir di Kampung Entilibon.

Masiung berkata, dengan tertubuhnya yayasan pendidikan ini kelak, ia boleh mengubah nasib golongan miskin dengan memberikan akses pendidikan tertinggi kepada anak mereka menerusi yayasan berkenaan.
Katanya, pemegang amanah bagi yayasan itu nanti akan diuruskan oleh anak tempatan Tongod sendiri yang berkelayakan.
Beliau yang juga Pengerusi Borneo Cement Sabah Sdn Bhd, memberi jaminan 1,000 kekosongan jawatan bakal diwujudkan di syarikat berkenaan akan diberi peluang kepada warga Tongod mengikut kelayakan akademik.
Turut hadir memeriahkan majlis kesyukuran itu ialah Paderi All Saint Kota Kinabalu, Dean Musa Ambai, Penolong Pegawai Daerah Tongod, Ronley Saringan dan Pegawai Unit Pembangunan Masyarakat, Tokyo Hashim Omar.


































