David Chan
KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah berterima kasih kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH) kerana menuntut Kerajaan Persekutuan mengembalikan autonomi untuk kuasa kawal selia bekalan elektrik di Sabah, yang pasti memberikan manfaat kepada pengguna di negeri ini.
“Ini kerana ia adalah isu yang lama tertunggak.
“Ia adalah sejarah yang bermakna bagi Sabah menyaksikan kuasa minyak, gas dan elektrik kini berada di bawah Kerajaan Negeri.
“Pada masa lalu, banyak isu yang saya percaya kini tepat pada masanya untuk Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyelesaikan masalah kekurangan bekalan elektrik di Sabah.
“Pada masa akan datang, saya percaya pengguna akan mendapat manfaat,” karanya dalam satu kenyataan.
Kelmarin, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan tiga Rang Undang-Undang pada persidangan khas yang memberi ruang kepada Sabah untuk secara rasmi mengambil alih kuasa mengawal selia sektor bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu daripada Kerajaan Persekutuan.
Ia melibatkan Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik 2024; Tenaga Boleh Baharu 2024 dan Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024.
Selepas pewartaan enakmen-enakmen tersebut, ECoS akan menjadi badan berkuasa yang mengawal selia sektor bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu di Sabah berkuat kuasa serta-merta.
ECoS telah pun memperoleh kuasa kawal selia ke atas sektor bekalan gas daratan sejak 10 Januari tahun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang membentangkan kesemua Eang Undang-Undang itu berkata, dengan Kerajaan Negeri mengambil alih kuasa kawal selia ke atas bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu, ini akan memudahkan pelan mantap bagi bekalan tenaga stabil di Sabah.
“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri melalui penyediaan bekalan tenaga yang mencukupi, stabil, berpatutan dan mampan seperti dalam Pelan Induk Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan dilancarkan pada September tahun lalu bagi menyokong pelan hala tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri melalui ECoS akan memastikan proses pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik dilaksanakan secara berkesan dan teratur tanpa sebarang gangguan kepada pihak pemegang taruh dalam industri bekalan elektrik di negeri ini.
Beliau berkata, inisiatif itu juga adalah sebahagian daripada penurunan kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


































