Tangkap layar dari video tular di media sosial kejadian letupan bunga api yang berlaku di bahagian bumbung atas bangunan tempat letak kereta sebuah hotel di Port Dickson
PORT DICKSON: Seorang lelaki berusia 40 tahun meninggal dunia dalam kejadian letupan bunga api yang berlaku tengah hari Ahad.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, insiden berlaku di bahagian bumbung atas bangunan tempat letak kereta sebuah hotel di daerah ini.
“Semasa kejadian hanya terdapat pekerja yang ditugaskan untuk memasang bunga api bagi pertunjukkan sempena malam ambang tahun baharu 2024.
“Ekoran daripada kejadian tersebut, seorang lelaki tempatan yang merupakan pekerja syarikat pemasangan bunga api telah meninggal dunia.
“Seorang lagi lelaki berusia 39 tahun telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan akibat cedera terkena serpihan bahan bunga api yang meletup,” katanya kelmarin.
Menurut beliau, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, video kejadian berkenaan telah tular di media sosial sejak pagi kelmarin bagaimanapun Aidi Sham meminta orang ramai tidak terus menular kejadian tersebut yang mana ia boleh mengganggu siasatan pihak polis.


































