SkIm harga maksimum musim perayaan Krismas 2023 dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
PETALING JAYA: Skim harga maksimum musim perayaan Krismas 2023 dilaksanakan mulai hari ini hingga 27 Disember ini sempena sambutan perayaan Krismas.
Sebanyak 14 jenis barangan diwartakan bagi skim ini iaitu daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, lada benggala hijau, kubis bulat import (China dan Indonesia), lobak merah dan cili merah.
Ini termasuk ubi kentang import (China), bawang merah besar import, bawang kuning besar, ayam tua hidup (dikawal di Sarawak), kepak ayam, babi hidup (dikawal peringkat ladang), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, skim ini dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.
Katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melaksanakan pemantauan berterusan bagi memastikan keberadaan bekalan barangan mencukupi dan semakan harga boleh dibuat melalui laman sesawang kementerian.
“Pegawai-pegawai penguatkuasa di seluruh negara akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan.
“Pendekatan ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini melalui AKHAP 2011 dan boleh dikenakan penalti.
Antaranya, kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum memperuntukkan individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan sebarang aduan sama ada melalui saluran WhatsApp iaitu 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; pusat panggilan 1-800-886-800, dan aplikasi Ez ADU KPDN.
























