Aksi pemain ragbi pada peringkat akhir Saga X 2023.
KOTA KINABALU : Pasukan Kalabakan mencipta kejutan memenangi emas kategori triple lelaki acara petanque Sukan Sabah Edisi Ke-10 (SAGA X).
Emas diperolehi menerusi gandingan Nur Syafiq Ahamad, Mohamad Syahzamil Mandarin Syahar dan Mohammad Syahrul Samsul yang mengatasi trio Keningau dengan markah 13-4. Sementara itu, pasukan Beaufort memungut gangsa.
Bagi kategori triple petanquewanita, Lahad Datu memungut emas menerusi Nina Farinah Ab Kadir, Faveyoni Linos dan Nurfarhaein Hariansah.
Lahad Datu membenam trio Kudat 11-1 pada perlawanan akhir manakala Putatan berada di tempat ketiga.
Sementara itu, dalam acara ragbi peringkat akhir kategori lelaki menemukan pasukan Keningau menentang pasukan pilihan dari Sandakan.
Perlawanan yang mulanyamenampakkan aksi pasukan Sandakan menguasai perlawanan namun pasukan Keningau bangkit mengheret perlawanan ke pusingan sudden death yang akhirnya berpihak kepada pasukan Keningau dengan mata 12-7.
Ini merupakan kali pertama Keningau mengungguli acara tersebut di luar daerah dan kali terakhir pasukan ragbi lelaki Keningau memenangi pingat emas SAGA adalah pada tahun 2011.
Dalam kategori wanita pula, pasukan Keningau menang mudah terhadap pasukan ragbi wanita Tuaran apabila menamatkan perlawanan dengan kutipan mata 17-0.
Pasukan ragbi lelaki Putatan dan pasukan ragbi wanita Penampang mendapat tempat ketiga bagi kategori masing-masing.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Alfred Angin telah hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi sukan ragbi Saga X tahun 2023.