Antara aksi semasa perlawanan akhir bola jaring.
KOTA KINABALU: Keningau mempertahankan emas bola jaring Sukan Sabah Edisi Ke-10 (SAGA X) selepas menewaskan Lahad Datu, 43-38.Pertembungan akhir musuh tradisi tersebut menyaksikan Keningau mendahului 10-7 pada 15 minit pertama perlawanan.
Manakala pada suku kedua tempoh perlawanan, Keningau terus mengukuhkan kedudukan jaringan dengan pungutan mata 27-11.Memasuki separuh masa kedua, Lahad Datu memberikan tekanan dan saingan tetapi Keningau masih mendahului dengan 33-26 menjelang minit ke-45.
Keningau membuktikan pasukannya berada dalam kelas tersendiri mengekalkan legasi kemenangan dan terus menambah jaringan sehingga minit akhir perlawanan.
Untuk rekod, pertembungan ini merupakan kali ketiga kedua-dua pasukan berentap di pusingan akhir SAGA iaitu pada 2017, 2019 dan 2023.
Di samping itu, pemain Keningau, Nelviana Ondos dianugerahkan Pemain Terbaik kejohananan sementara wakil Tongod, Siti Nurfatihah Abdullah muncul Penjaring Terbanyak.
Terdahulu, Kota Kinabalu memungut gangsa selepas menang tipis ke atas Tongod dengan 49-42.
Secara keseluruhannya, lapan pasukan bersaing dalam acara bola jaring iaitu Ranau, Kota Belud, Tongod, Lahad Datu, Keningau, Kota Kinabalu, Sipitang dan Papar. Seramai 112 peserta bola jaring terlibat SAGA X merangkumi pemain, jurulatih dan pengurus pasukan.