Christina Liew
KOTA KINABALU: Sabah telah menerima kedatangan pelancong sebanyak 2.1 juta orang dengan anggaran perbelanjaan pelancongan berjumlah RM 4.42 bilion setakat Oktober tahun ini, kata Datuk Christina Liew.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu yakin Sabah mampu mencapai sasaran dan akan mempergiatkan momentum pemulihan ini pada tahun hadapan.
Beliau berkata, melihat kepada prestasi ketibaan pelawat pada sepanjang sembilan bulan yang lalu, Sabah dijangka mencapai 2.5 juta ketibaan pelawat pada hujung tahun ini di mana akan melebihi sasaran awal iaitu 2.2 juta orang.
“Bagi mencapai sasaran ini, Kerajaan Negeri komited melaksanakan pelbagai inisiatif dan program pelancongan yang inklusif sebagai usaha promosi dan pemasaran dalam menjadikan Sabah sebagai destinasi pilihan pelancong domestik dan antarbangsa pada pasca pandemik Covid-19.
“Justeru, usaha untuk mengembangkan rangkaian udara terus menjadi agenda terpenting pada tahun ini dengan pelbagai insentif dan insiatif yang dirancang sebagai usaha untuk menyokong dan mengalakkan syarikat penerbangan memulakan semula laluan udara yang terhenti, membuka laluan udara baharu mahupun mengadakan penerbangan sewa khas ke Sabah.
“Setakat ini Sabah menerima sebanyak 384 penerbangan domestik dengan 63,519 kapasiti tempat duduk setiap seminggu. Manakala bagi penerbangan antarabangsa,
sebanyak 105 penerbangan terus ke Kota Kinabalu dalam seminggu dengan 18,962 kapasiti tempat duduk.
“Jumlah penerbangan ini meliputi 86.3 peratus bagi penerbangan domestik dan 44.5 peratus bagi penerbangan antarabangsa terus ke negeri Sabah semasa pra-pandemik,” katanya pada pelancaran Penerbitan Regional Tourism Satellite Account (RTSA) Sabah 2022 di Shangri-La Tanjung Aru di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB).
Liew berkata, selain daripada itu, pembangunan pelancongan luar bandar akan tetap menjadi komitmen Kerajaan sebagai usaha untuk memperkasa eko pelancongan di negeri ini.
“Dengan pengiktirafan berprestij ‘Triple Crown’ yang dianugerahkan kepada Sabah menjadi indikator kepada Kementerian bahawa kepelbagaian biodiversiti alam semulajadi negeri ini adalah aset tidak ternilai yang harus di pulihara dan dipelihara,” ujarnya.
Mengenai RTSA, Liew berkata, RTSA Sabah dilaksanakan adalah bertujuan untuk mengukur sejauh mana prestasi sektor pelancongan negeri Sabah.
“Kita sedia maklum bahawa, pelancongan di Sabah adalah satu daripada sumber utama ekonomi negeri dan merupakan salah satu antara tiga teras utama dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Data melalui RTSA ini juga adalah inklusif yang merangkumi tinjauan dari pelbagai aspek termasuklah aktiviti dan tarikan utama pelawat yang melancong di negeri ini.
“Hasil dapatan daripada RTSA Sabah ini amat penting dalam menentukan prestasi pelancongan Sabah serta digunakan dalam pembentukan dasar dan polisi bagi merancakkan aktiviti pelancongan di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, sesungguhnya, dengan penghasilan penerbitan ini akan dapat membantu banyak pihak antaranya pihak Kerajaan, penyelidik, ahli akademik dan pemain industri dalam merangka dan merancang pembangunan industri pelancongan di Sabah.
Beliau juga amat berharap semua peringkat pengguna dan penggerak industri pelancongan agar memanfaatkan penemuan RTSA Sabah 2022 ini sebagai salah satu sumber bagi merealisasikan agenda inovasi negara untuk memajukan sektor pelancongan.
Beliau yakin kolaborasi bersama antara Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kementerian Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar, STB serta agensi-agensi lain dapat diteruskan lagi untuk tahun-tahun akan datang.




























