PUTRAJAYA: Seorang bayi berusia empat bulan maut dipercayai tersedak susu ketika mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi Selasa lalu, mangsa dikenali sebagai Mikhael Mazlan didapati tidak sedarkan diri akibat tersedak susu ketika berada di rumah pengasuhnya.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 3 petang semalam ketika mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Putrajaya.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kematian mangsa disahkan oleh doktor perubatan Hospital Putrajaya yang juga pengadu.
Beliau berkata, ketika pasukan perubatan tiba di rumah pengasuh pagi Selasa lalu, mangsa diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) selama 40 minit selepas didapati tidak sedarkan diri.
“Mangsa kemudian di bawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut. Doktor memaklumkan jantung mangsa kembali normal ketika dirawat di hospital namun, masih memerlukan bantuan pernafasan.
“Malah, doktor memaklumkan mangsa juga akan di bawa ke Tunku Azizah Hospital (Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur) untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, kira-kira pukul 3 petang semalam, mangsa disahkan meninggal dunia.
“Kes akan disiasat mengikut
Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 6 (1) Akta Taman Asuhan 1984,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pemeriksaan fizikal kepada mangsa mendapati tiada kesan kecederaan yang wujud pada tubuh badan mangsa.
A Asmadi berkata, siasatan awal mendapati, mangsa adalah anak ketiga daripada tiga adik-beradik manakala, ibu dan mangsa adalah penjawat awam.
Selain itu, katanya, pengasuh berusia 52 tahun turut menjaga empat kanak-kanak berusia lingkungan empat bulan hingga tiga tahun selain tidak mempunyai lesen dan sijil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Pengasuh mendakwa dia cuba memberi susu kepada mangsa namun, secara tiba-tiba mangsa telah tersedak dan mengeluarkan air susu daripada hidungnya.
“Pengasuh mengatakan bahawa mangsa telah meminum susu lebih kurang dua auns dengan posisi yang betul dimana posisi badan mangsa diletakkan dalam keadaan 45 darjah,” katanya.






























