Antara aksi acara Kumite Lelaki bawah 55kg yang menjadi tumpuan penonton.
KOTA KINABALU: Sukan Karate membuka tirai gelanggang pertandingan dengan 14 acara pada Sukan Sabah (SAGA) edisi ke-10 di Dewan SM Lok Yuk pada Rabu.
Acara yang melibatkan disiplin Kata dan Kumite memperlihatkan sebanyak 13 daerah menghantar pasukan masing-masing yang melibatkan seramai 69 atlet lelaki dan 70 orang atlet wanita pada hari pertama pertandingan.
Antara acara yang dipertandingkan adalah Kata Individu Lelaki dan Wanita serta disiplin Kumite Lelaki melibatkan Kumite 55kg, Kumite 60kg, Kumite 67kg, Kumite 75kg, Kumite84kg dan Kumite melebihi 84kg.
Acara Kumite Wanita melibatkan kategori Kumite 45kg, Kumite 50kg, Kumite 61kg, Kumite 68kg dan Kumite melebihi 68kg.
Ketua Deligat Teknikal Karate, Frederick Kiamut berkata persiapan logistik yang melibatkan persiapan gelanggang, papan pemarkahan digital, Tatami (tikar pertandingan) dan kelengkapan perubatan dan kecemasan semuanya berjalan lancar bermula dari 18 dan 19 Disember yang lalu.
Seramai 18 orang ahli jawatankuasa teknikaltermasuk pengadil dan dibantu 10 orang sukarelawan dari Lembaga Sukan Sabah terlibat dalam menyediakan persiapan gelanggang Karate pada SAGA kali ini.
Pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada pihak Lembaga Sukan Sabah kerana turut menyediakan pelbagai kelengkapan termasuklah Tatami untuk kegunaan pertandingan.
Namun setelah bermesyuarat pihak Jawatankuasa Teknikal memilih untuk menggunakan Tatami dari Persatuan Karate Negeri Sabah yang lebih sesuai dan memenuhi piawaian pertandingan.
Beliau juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Karate Sabah berharap agar semua atlet Karate yang dapat menggunakan platfom ini bagi merebut tempat bagi mewakili negeri ke Sukan Malaysia yang akan datang.
“Pada SAGA kali ini kita lihat ada ramai atlet baru yang dihantar oleh kontinjen yang menyertai.
“Oleh itu kita mengharapkan agar ada kontinjen dari daerah lain dapat memberi saingan kepada atlet-atlet dari kontinjen pilihan seperti dari daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Sandakan,” jelas beliau ketika ditemui media di sini.
Hadir sama menyaksikan pertandingan sukan Karate adalah Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Valerie Wong.